Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tulisan terakhir saya minggu lepas berkaitan kesan langsung kepada rakyat dan usahawan bumiputra jika 4,000 projek-projek kecil untuk rakyat dibatalkan.

Akhir-akhir ini kita dikejutkan lagi dengan pengumuman kerajaan menghentikan Projek MRT2 yang melibatkan 20,000 pekerja di bawah MMC Gamuda.

Ini bukannya kali pertama tindakan kerajaan yang menyebabkan rakyat kehilangan pekerjaan tetapi sebelum ini pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kuala Lumpur-Singapore Highspeed Rail (HSR) dan lain-lain juga menyebabkan puluhan ribuan rakyat hilang pekerjaan.

Nampaknya manifesto kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan sebenarnya telah bertukar menjadi pemberhentian 1 juta pekerja.

Dalam keadaan sukar masa kini, kehilangan pekerjaan dalam situasi kos sara hidup meningkat dan tidak lama lagi para ibu bapa akan menghadapi musim persekolahan baru untuk tahun 2019 dan sudah tentu sahaja ia bakal menambahkan penderitaan rakyat.

Alasan kerajaan akan melakukan penganugerahan tender semula dan mereka mungkin akan diambil semula oleh syarikat baru tidak dapat diterima.

Kita tidak tahu bilakah proses tender semula itu akan selesai dengan pelantikan syarikat baru tersebut.

Dalam jangka masa itu apakah 20,000 pekerja ini akan mempunyai pendapatan? Apakah kerajaan akan membayar pampasan? Jika berlaku pengambilalihan oleh syarikat baru sekali pun apakah jaminan kerajaan bahawa syarikat baru itu akan menyerap semula keseluruhan lebih 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan ini?

Perlu diingatkan bahawa 60 peratus daripada 20,000 pekerja tersebut terdiri dari pekerja bumiputera. Malah antaranya terdiri daripada golongan profesional rakyat Malaysia.

Lebih malang lagi terdapat 600 syarikat yang menjadi pembekal, sub kontraktor dan lain-lain yang terlibat dengan projek tersebut bakal berdepan situasi sama dengan memberhentikan pekerja-pekerja mereka dan syarikat mungkin akan gulung tikar.

Kerajaan tidak seharusnya berpendirian dangkal oleh kerana MMC Gamuda dilantik oleh kerajaan BN terdahulu maka kontrak mereka perlu dibatalkan.

Perlu diingatkan bahawa MMC Gamuda telah dilantik melalui tender terbuka antarabangsa yang terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat dari negara China, Korea dan Jepun..

Untuk makluman, pemegang-pemegang saham dalam Syarikat MMC Gamuda terdiri dari Lembaga Tabung Haji (TH), Amanahraya Trustees Berhad, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan lain-lain yang kesemuanya merupakan institusi-Institusi yang akan memberikan pulangan keuntungan kepada rakyat melalui paratus keuntungan dari Projek MRT2 ini.

Difahamkan Projek MRT 2 ini telah siap 40 peratus pembinaannya.Jadi keputusan kerajaan memberhentikan projek ini juga mengundang tindakan saman untuk ganti rugi serta pampasan lain akibat penamatan kontrak tersebut.

Tindakan mahkamah mungkin akan mengganggu proses pelantikan syarikat baru untuk menyambung projek tersebut.

Jika ini berlaku maka kerajaan akan lebih menanggung kerugian. Kelewatan pelantikan syarikat baru tentu akan melewatkan 20,000 pekerja yang hilang pekerjaan untuk mendapatkan semula pekerjaan mereka.

Yang pasti 20,000 pekerja ini akan terus menderita dengan tindakan kerajaan HARAPAN yang tidak mengambil kira hak dan kebajikan rakyat.


ISMAIL SABRI YAAKOB merupakan naib presiden Umno.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pedirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS