Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRK PD | Selepas Gerakan Negeri Sembilan menyatakan sokongan parti itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) hari ini tampil menyokong PAS.

Naib Presiden IPF Datuk S Visvanathan berkata parti itu - yang masih merupakan rakan strategik BN - beliau akan meminta 2,283 anggota mereka yang ada di kawasan parlimen Port Dickson untuk mengundi calon PAS Mohd Nazari Mokhtar pada 13 Okt ini.

Katanya langkah itu dibuat selepas dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti itu pada Ahad yang lalu.

"Bukan sahaja di Port Dickson, kami juga akan bekerjasama dengan PAS pada masa akan datang," tambah beliau ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Visvanathan ada dua faktor mengapa IPF terbuka untuk bekerjasama dengan PAS.

Pertama, katanya pada muktamar PAS lalu parti tersebut menjemput IPF untuk menubuhkan gabungan baru bersama Umno dan MIC.

Katanya IPF menyambut baik undangan berkenaan.

"Kedua, hanya PAS mengadakan mesyuarat dengan IPF untuk meminta kami berkempen bagi pihak mereka," kata Visvanathan yang juga pengerusi IPF Negeri Sembilan.

Ekoran ketetapan itu Visvanathan berkata IPF mengerah semua anggota parti terbabit supaya berkempen dari rumah ke rumah khususnya mengajak pengundi India memberikan sokongan kepada PAS.

Sementara itu Malaysiakini diberitahu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mengadakan perjumpaan dengan anggota Majlis IPF Negeri Sembilan untuk bekerjasama sempena PRK ini petang tadi.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua DHPP Pusat N Balasubramaniam dan turut dihadiri setiausahanya S Barathidasan bagi menyatakan sokongan kepada calon PAS yang dililhat sebagai pencabar utama kepada Anwar Sabtu ini.

Terdahulu, Gerakan Negeri Sembilan menyatakan sokongannya terhadap Anwar yang menjadi calon Pakatan Harapan.

Anwar dilaporkan bertemu 120 anggota parti itu serta Pengerusi DAP Negeri Sembilan David Choong, kelmarin.

China Press turut melaporkan kedua-dua pihak setuju bekerjasama dan dijangka 2,072 anggota Gerakan yang menjadi pengundi di Port Dickson akan membantu memenangkan Anwar.

Gerakan sebelum ini merupakan komponen BN namun meninggalkan gabungan terbabit selepas kalah teruk pada PRU14 lalu.

Lihat Komen
ADS