Perlis beri kepercayaan penuh pada polis pantau isu keselamatan
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar tiada pihak mengaitkan negeri itu dengan isu keganasan, dan memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk melipatgandakan pemantauan keselamatan negeri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor, Tuanku Syed Faizuddin selaku yang dipertua badan itu mengeluarkan titah berkenaan selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis Dr Hazman Hassan dan pengurusan institusi pengajian agama yang dikaitkan dengan pengganas yang beroperasi di Bukit Jernih.
Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohamad pula dijemput untuk memberi pandangan serta nasihat keselamatan.
Polis Unit Antipengganas Bukit Aman baru-baru ini memberkas lapan orang dengan enam daripada mereka adalah pelajar institusi itu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Mohd Nazim berkata Tuanku Syed Faizuddin turut menyerahkan salinan fatwa berkaitan Takrif Jihad Fi Sabilillah kepada Noor Mushar bagi mengelak aktiviti keganasan atas nama agama.
Menurut kenyataan itu lagi seramai 119 orang warga asing dari 19 negara belajar di institusi itu dan menyifatkan penangkapan enam orang daripada mereka sebagai kes terpencil.
Mohd Nazim berkata pertemuan itu mencapai tujuh keputusan, antaranya:
- Operasi pengajian institusi itu dihentikan serta-merta sehingga satu tarikh yang akan diumumkan oleh ketua polis Perlis.
- Dalam tempoh penutupan, polis akan membuat semakan terperinci dan tapisan keselamatan terhadap setiap individu di institusi berkenaan.
- Pengurusan agama di Perlis menuntut pengurusan institusi berkenaan melaksanakan pengajian dengan pendekatan sederhana dan mengambil kira latar belakang setempat.
- Semua institusi yang melibatkan warga asing khususnya pendidikan dan sektor pekerjaan hendaklah proaktif dan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta membuat tapisan keselamatan.
- Masyarakat di Perlis hendaklah peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa aktiviti anasir yang bercanggah dengan undang-undang.
- Bernama

