Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Siapa yang tak rasional sebenarnya?
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 10:57 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tahu nama beliau akan dibersihkan daripada sebarang kaitan beberapa kes bunuh jika siasatan ke atasnya dijalankan.

Kata Najib langkah itu juga akan menunjukkan beliau sebenarnya sudah menjadi mangsa fitnah parti HARAPAN selama bertahun-tahun.

Dalam hantaran di Facebook malam ini bekas perdana menteri itu berkata kerajaan tetap enggan membuka siasatan khas ke atasnya walaupun ia sudah didesak selama seminggu.

"(Ia) jelas membuktikan saya langsung tidak terlibat dalam kematian Teoh Beng Hock, Altantuya, Kevin Morais dan Hussain Najadi.

Maka, jika tak mahu menjalankan siasatan khas, tak usahlah kaitkan nama saya dengan kes-kes ini lagi," katanya.

Nama ketua Umno Pekan itu sejak dulu dikaitkan dengan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi, terutama melibatkan Altantuya Shaariibuu.

Dua anggota polis elit sudah dibicarakan dan disabitkan kesalahan atas kematian wanita Mongolia terbabit.

Terdahulu Najib mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang menyatakan beliau enggan membuat gesaan lagi supaya kerajaan menubuhkan pasukan siasatan khas yang didakwa ada kaitan dengan bekas perdana menteri itu.

Kata Najib, selepas berterima kasih kepada Lim kerana "membersihkan" namanya daripada kematian Teoh, anggota parlimen Iskandar Puteri itu berang dan menganggap langkah tersebut sebagai tidak rasional.

Namun kata Najib reaksi tersebut menunjukkan Lim sudah tidak ada cara lagi untuk mengenakannnya sehingga secara tiba-tiba enggan memperpanjangkan isu berkenaan.

"Yang tiba-tiba mengeluarkan kenyataan minggu lepas mahu membuka siasatan-siasatan khas kepada kes-kes pembunuhan ialah Kit Siang.

"Selepas saya bersetuju, Kit Siang yang sama tidak mahu lagi mendesak (kerajaan) untuk wujudkan siasatan khas itu.

"Siapa yang tidak rasional, sebenarnya?" tanya Najib.

Sementara itu Lim meminta Najib menjelaskan mengapa beliau tidak membuka semula siasatan beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi semasa masih menjadi perdana menteri.

Bercakap kepada media selepas menghadiri ceramah di Lukut, Port Dickson hari ini Lim berkata Najib perlu membuka siasatan kes berkenaan ketika masih berkuasa dan bukannya membangkitkan isu itu sekarang.

Lihat Komen
ADS