Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO India, belia, jetski nyata sokongan pada Anwar
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 11:40 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Port Dickson nyatakan sokongan kepada Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang berlangsung Sabtu ini.

Enam NGO itu ialah Kelab India Teluk Kemang, Kelab Belia Taman PD Utama, Dino Persatuan Jetski Negeri Sembilan PD, Rizal Kelab Belia Taman Poli, Faisul Kelab Belia Kemang Jaya, dan NSR 95 Veteran FC.

Jurucakap NGO berkenaan K. Rajashekaran, 45, berkata mereka amat yakin pengalaman yang dimiliki Anwar dapat menaikkan imej Port Dickson.

"Inilah masa yang terbaik untuk kita tunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita mesti berbangga kerana beliau seorang yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan diuar-uarkan sebagai bakal perdana menteri," katanya pada sidang media di Port Dickson, malam ini.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Sabtu ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS