Berita Malaysiakini

Mahkamah tolak rayuan Shafee

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai saman malu yang difailkannya terhadap Badan Peguam Malaysia, Peguam Negara Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George berhubung kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat kedua melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong Dak Wah yang mempengerusikan bersama dua hakim lain memutuskan rayuan Shafee tidak mempunyai merit.

“Kami dapati tidak terdapat kesalahan oleh hakim Mahkamah Tinggi. Kami dapati hakim Mahkamah Tinggi telah melaksanakan secara meluas berhubung isu justifikasi pembelaan,” kata Wong.

Menurutnya, Shafee mengetahui bahawa “Kelana Jaya talk” adalah acara politik dan beliau secara hasrat mengambil bahagian dalam acara itu.

“Apabila bukti itu dinilai secara keseluruhan, perayu telah menghadiri acara politik itu untuk mencemari reputasi Anwar. Dengan mengetahui bahawa dia (Shafee) adalah timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan Anwar.

"Kami berkata beliau tidak sepatutnya membiarkan dirinya menjadi sebahagian daripada satu agenda oleh sebuah parti politik," katanya.

Panel hari ini turut dianggotai hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Umi Kalthum Abd Majid dan Datuk Ahmadi Asnawi

Shafee memfailkan saman itu kerana mendakwa bahawa Tommy yang disokong oleh George telah menyiarkan dan memfailkan usul untuk dibincangkan pada AGM 14 Mac 2015 berkaitan kelakuannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Anwar yang didengar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata Majlis Peguam dan Christopher telah menyiarkan usul dalam laman web Badan Peguam Malaysia bertajuk 'Agenda dan Usul bagi Mesyuarat Agung Tahunan ke-69 Badan Peguam Malaysia' yang boleh diakses oleh semua anggota badan itu.

Usul itu, antara lain, menyentuh kelakuan Shafee sebagai pendakwa raya yang mengadakan jerayawara (roadshow) berkaitan kes liwat Anwar.

Shafee mendakwa bahawa berikutan penyiaran usul tersebut, defendan-defendan secara berniat jahat telah memfitnahnya untuk memusnahkan reputasi dan kerjaya beliau dalam bidang guaman.

Hakim Wong berkata, persoalannya adakah apa yang perayu telah katakan mengenai Anwar sesuai untuk dikutuk

Hakim itu juga berkata bahawa alasan Shafee menyertai perbincangan Kelana Jaya bagi mempertahan keputusan Mahkamah Persekutuan, yang mana panel berkenaan mendapati ia tidak mempunyai kredibaliti.

“Adakah perlu untuk mempertahan keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Mengenai isu pendedahan bukti dalam-kamera itu, panel berkenaan berpendapat bahawa (bukti dalam kamera) tidak boleh dibahaskan dalam medan awam.

“Kami berpendapat bahawa bukti dalam kamera belum lagi dipindahkan sebagai bukti yang membolehkan sesiapa merujuknya secara terbuka dalam medan awam,” kata hakim berkenaan.

Beliau berkata, mahkamah berkenaan bersetuju dengan hujahan peguam yaang pertama dan responden kedua (Tommy Thomas dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George) bahawa kerumitan itu boleh menjadi sesuatu yang dahsyat, sekiranya pendirian perayu didapati betul, di mana pada masa hadapan, sama ada timbalan pendakwaraya atau yang tidak, boleh mengemukakan bukti dalam kamera pada persidangan akhbar dan secara terbuka memberitahu awam mengenai bukti itu.

“Itu tidak boleh menjadi undang-undang oleh sebarang imaginasi. Walaupun sekiranya terdapat keraguan atas kesan arahan bukti dalam kamera, perayu berkenaan, sebagai pegawai mahkamah tertakluk untuk mendapatkan penjelasan daripada mahkamah perbicaraan berkenaan sebelum beliau membuat keputusan bahawa arahan berkenaan dilanjutkan atau diketepikan oleh apa yang diputuskan pada perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Muhammad Shafee membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Mei, 2016 yang menolak saman beliau terhadap empat defendan – peguam Badan Peguam (ketika itu), Tommy Thomas, bekas hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri VC George, dan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah berkata, Shafee sebagai peguam, peguam bela serta Timbalan Pendakwaraya sepatutnya tidak kelihatan “dalam prosiding kamera” kepada awam kerana ia perlu dilakukan dalam forum yang teratur.

Pada Mac 2015, Shafee memfailkan saman, mendakwa bahawa pada 28 Feb, 2015, Thomas, yang dipinjam menggantikan George, telah menyiar dan mengemukakan satu usul bagi dibincangkan oleh AGM pada 14 Mac, 2015 berhubung tugasnya sebagai timbalan pendakwaraya dalam rayuan sodomi Anwar di Mahkamah Persekutuan.

Peguam itu berkata, Majlis Peguam dan Leong pada 9 Mac, 2015 menyiarkan usul itu dalam laman web Badan Peguam bertajuk “Agenda and Motions for the 69th Annual General Meeting of the Malaysian Bar' yang boleh diakses oleh semua anggota badan berkenaan.

Usul itu, antara lain, bimbang dengan perilaku Shafee sebagai ketua pendakwaraya, yang mengadakan jerayawara berhubung kes sodomi Anwar.

Shafee mendakwa bahawa susulan siaran usul itu, defendan secara niat jahat memalukan beliau bagi menghancurkan reputasi dan karier sebagai peguam.

Dalam kenyataan dakwaannya, Shafee memohon, antara lain, satu deklarasi agar usul itu sebagai mala fide kerana tujuan cadangan itu semata-mata mahu memalukan beliau dan AGM bukan forum yang sepatutnya mendengar usul itu.

Di luar kamar mahkamah, Shafee ketika ditemui pemberita berkata beliau akan pasti mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan dan akan memohon minimum tujuh orang hakim untuk mendengan rayuannya.

"Bagaimanakah seseorang itu boleh membentang usul untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap sesorang individu melalui AGM?" soalnya.

"Saya akan membuat rayuan kepada panel tujuh anggota hakim Mahkamah Persekutuan."