Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes permata Lubnan: Permohonan Rosmah ketepi saman ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan saman syarikat permata Lubnan susulan 44 barang kemas yang dikirimkan padanya.

Ini susulan Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin mengarahkan Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan afidavit dalam tempoh dua minggu sama ada 44 unit barang itu berada pada polis selepas serbuan.

Selepas perkara ini dipastikan, menurut mahkamah, Rosmah boleh memfailkan permohonan baru (bagi mengetepikan saman).

Wong menetapkan 4 dan 5 Mac untuk mendengar saman itu.

Syarikat permata itu menyaman Rosmah Jun lalu susulan status tidak pasti berkaitan barang kemas yang dihantar padanya.

Mahkamah juga mengarahkan kerajaan memfailkan afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas bernilai US$14.79 juta atau hampir RM60 juta, yang dikatakan dihantar Rosmah oleh syarikat menjual barang kemas di Lubnan , telah dirampas oleh polis.

Wong mengeluarkan perintah itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Izham Marzuki, yang mewakili kerajaan, memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sama ada 44 unit barang kemas itu adalah sebahagian daripada 12,000 unit yang dirampas oleh polis dalam serbuan di premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya mahu kerajaan untuk kembali dalam tempoh dua minggu bersama afidavit untuk mengesahkan sama ada 44 keping barang kemas telah dirampas oleh polis dan meminta defendan (Rosmah) untuk membantu mengenal pasti barang kemas itu," kata Wong.

Beliau berkata Rosmah adalah orang yang terbaik sekali untuk membuktikannya.

"Kami berharap beliau dapat membantu kerana beliau adalah orang yang terbaik untuk mengenal pasti barang kemas tersebut," katanya dan beliau kemudian menetapkan dua hari bermula 4 Mac, tahun depan untuk perbicaraan.

Wong kemudian menolak permohonan oleh Rosmah, yang dinamakan sebagai defendan dalam kes asaman difailkan oleh syarikat dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, untuk membatalkan saman tersebut tanpa mendengar hujah daripada semua pihak berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Rosmah boleh memfailkan permohonan baharu selepas dibuktikan bahawa barang kemas itu telah dirampas.

Terdahulu peguam Rosmah, Rajivan Nambiar memberitahu mahkamah bahawa kerajaan harus kembali ke mahkamah dan mengesahkan mengenai rampasan barang itu.

"(Rosmah) menyatakan pendirian bahawa barang kemas itu dirampas tetapi kerajaan tidak dapat mengesahkannya, " kata Rajivan.

Kerajaan dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu selepas berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes saman itu. Pada mulanya Rosmah adalah defendan tunggal.
Kerajaan telah memohon untuk menjadi sebahagian daripada pihak dalam kes saman oleh Global Royalty terhadap Rosmah atas alasan bahawa barang kemas itu adalah milik kerajaan dan dibeli dengan wang yang dicuri.

Global Royalty menyaman Rosmah pada 26 Jun, menuntut beliau memulangkan 44 unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Global Royalty, pemborong barang kemas antarabangsa, mendakwa bahawa Rosmah telah lama menjadi pelanggan tetapnya dan bahawa firma itu akan menghantar konsaimen barang kemas kepadanya atas permintaan beliau. Rosmah kemudian akan menilai atau membeli barang kemas pilihannya yang akan dibayar sendiri olehnya atau melalui pihak ketiga.

Syarikat itu, yang membekalkan barang kemas kepada kerabat diraja serta pelanggan dan ternama dari seluruh dunia, mendakwa bahawa barang kemas yang tidak dipilih biasanya akan dipulangkan dan, dalam keadaan tertentu, Rosmah akan meminjam beberapa barang kemas itu dan memulangkannya kepada plaintif.

Syarikat itu mendakwa pada 10 Feb tahun ini, ia telah menghantar 44 set barang kemas, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai antara US$124,000 dan US$925,000 kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Global Royalty berkata semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma-terma dan syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas tersebut.

Syarikat itu mendakwa bahawa Rosmah, melalui surat bertarikh 22 Mei, juga mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas itu tidak lagi berada dalam milikannya kerana telah dirampas dan ia kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Firma itu mendakwa bahawa sepanjang masa material, plaintif adalah pemilik barang kemas tersebut dan pemilikan itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Global Royalty memohon pengisytiharan mahkamah bahawa firma itu adalah pemilik sah 44 unit barang kemas itu selain perintah pesanan yang menyatakan bahawa pemilikan barang kemas itu tidak pernah dipindahkan kepada defendan.

Ia juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang telah dirampas, perintah untuk barang kemas itu dipulangkan atau, jika tidak, Rosmah akan bertanggungjawab membayar harga barangan berjumlah, US$14.79 juta (RM59.83 juta ).

Rosmah, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 23 Julai, menafikan membeli mana-mana 44 unit barang kemas dan berkata barang kemas itu dihantar kepada beliau untuk dilihat atas sifat beliau sebagai isteri perdana menteri Malaysia atas kehendak dan kerelaan syarikat itu sendiri dan tanpa sebarang obligasi untuk beliau membeli barang kemas tersebut.

 

Lihat Komen
ADS