Berita Malaysiakini

Wan Azizah tak wajar dedah tawaran Agong - Ezam

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak wajar mengeluarkan kenyataan mengenai titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhamad V yang menawarkan jawatan perdana menteri kepadanya selepas PRU14 lalu, kata Pengerusi NGO HISBAH Ezam Mohd Nor.

"Kenyataan TPM di Jakarta... mengenai tawaran jawatan perdana menteri kepada beliau oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong adalah kenyataan yang tidak wajar.

"Yang dibicarakan pula adalah titah DYMM dalam pertemuan tertutup di Istana Negara yang seharusnya dipelihara kehormatannya khususnya bagi pihak baginda DYMM," kata mantan pemimpin PKR dan bekas senator Umno itu dalam suatu kenyataan dari Jakarta hari ini.

Ezam menggesa pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk bekerja pada tahap tertinggi membantu menyelesaikan masalah rakyat dan tidak terheret dengan persoalan masa lalu.

"Kalau mahu dihormati sebagai seorang timbalan perdana menteri, berkerja dan berbicaralah sebagai seorang TPM.

"Tugas TPM adalah membantu PM. Bukan ke hulu ke hilir mewar-warkan pernah ditawarkan jawatan PM," tegasnya lagi.

Wan Azizah tolak tawaran

Dr Wan Azizah berkata Sultan Muhammad V memberi tawaran itu memandangkan beliau ialah Presiden PKR, yang simbolnya digunakan semua parti dalam HARAPAN pada PRU14.

“Bagaimanapun, saya menolak tawaran itu kerana kita berpegang kepada janji bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri dan saya menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya kepada rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta malam kelmarin.

Semalam, Datuk A Kadir Jasin dalam hantaran blog yang ditulis bukan dalam kapisiti rasminya sebagai Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri mempertahankan kenyataan Wan Azizah di Jakarta itu.

"Saya menyokong ulang sebut Dr Wan Azizah itu kerana ia memperjelaskan dan mengesahkan apa yang menjadi tekaan orang ramai pada malam 9 dan 10 Mei 2018.

"Pengesahan dan ulang sebut ini penting kerana rakyat, khususnya pengundi yang memilih HARAPAN, berhak mengetahui tindak balas Yang di-Pertuan Agong terhadap keputusan mereka memilih HARAPAN," katanya.

Tarik DK daripada Dr Mahathir

Dalam tulisannya itu, Kadir juga menimbulkan persoalan tindakan Istana Kelantan menarik balik gelaran darjah kebesaran yang telah dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

"Cuma timbul persoalan kerana tiga bulan sebelum PRU 9 Mei, Istana Kelantan telah menarik balik gelaran Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan yang dianugerahkan kepada Dr Mahathir.

"Gelaran itu diberikan oleh bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra. Baginda adalah ayahanda kepada Sultan Muhammad V dan masih hidup.

"Penarikan balik darjah tertinggi Kelantan itu dilihat sebagai penolakan terhadap Dr Mahathir oleh Istana Kelantan," katanya.