Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MP Labuan keluar Umno masuk WARISAN langkah tepat - Darrel
Diterbitkan:  Oct 11, 2018 9:26 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Keputusan Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Izli menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) disifatkan sebagai satu langkah bagi "menyempurnakan susun suai bagi kedudukan Sabah-Sarawak-Labuan."

Timbalan Presiden Warisan Datuk Darrel Leiking berkata Sabah, Sarawak dan Labuan tidak boleh dipisahkan kerana tiga entiti itu membentuk Borneo dan perlu bersama-sama dari segi ekonomi, sosial dan politik.

“… dan kini, kemasukan Rozman menyempurnakan susun suai itu,” katanya pada sidang akhbar bersama di Lapangan Terbang Labuan hari ini bagi mengalu-ngalukan keputusan Rozman menyertai Warisan. Terdahulu, Rozman mengumumkan keputusannya meninggalkan Umno dan menyertai WARISAN.

Leiking berkata WARISAN sentiasa mengalami perubahan (setiap hari), dengan sesetengah anggota meninggalkan parti itu, dan pada waktu sama, ada anggota baharu menyertainya.

“Bagi mereka yang keluar, mereka mungkin ada sebab untuk berbuat demikian dan kami menghormati keputusan mereka itu. Kami mengalu-alukan mereka yang menyertai WARISAN kerana memahami perjuangan parti ini,” katanya.

Leiking (gambar), yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Persekutuan, berkata keputusan Rozman itu semata-mata berdasarkan pertimbangan politik bagi memenuhi hasrat wilayah Borneo sebelah sini.

“Kami tahu Labuan boleh berdikari; Labuan hanya perlu menjadi sebahagian daripada pentadbiran Sabah, dan dengan keputusan Rozman itu, pada dasarnya, Sabah, melalui Parti Warisan Sabah, sebagai rakan Pakatan Harapan (HARAPAN), akan dapat mentadbir Labuan dengan bantuan peringkat persekutuan dan negeri,” katanya.

Leiking berkata beliau akan berhubung dengan Menteri Wilayah Persekutuan bagi meminta agar lebih banyak dana disalurkan kepada Labuan serta melibatkan keputusan di peringkat pusat berkaitan Labuan.

Mengulas tentang cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok, beliau berkata projek itu tidak dibatalkan dan para pemimpin Sabah, bersama-sama Rozman, akan memperjuangkan projek berkenaan demi kepentingan Labuan dan Sabah.

“Idea itu difikirkan sejak lama dulu. Kita perlu ingat bahawa Kerajaan Persekutuan mungkin menghadapi kekangan dari segi pembiayaan, tetapi ia tidak menyekat idea itu daripada terus berkembang kerana kerajaan akan mengotakan janjinya.

“Marilah kita sama-sama mengurus aturan fiskal bagi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan. Kita akan sampai di sana tidak lama lagi; cuma, berilah kami sedikit lagi masa.

"Kalaulah tidak kerana kesilapan pengurusan fiskal yang dilakukan regim sebelum ini, semuanya tentu sudah berada dalam keadaan baik,” kata beliau.

Leiking berkata terdapat cakap-cakap bahawa kerajaan membatalkan projek tertentu, sedangkan sebenarnya ia membuat kajian semula bagi mengurangkan kos melalui terma rundingan.

Beliau juga menafikan dakwaan bahawa WARISAN memberi kad pengenalan Malaysia kepada pendatang tanpa izin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS