Berita Malaysiakini

Muhyiddin: Saya keluar KL semata-mata kerana Anwar

Shakira Buang  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK PD | Selepas bercuti selama tiga bulan daripada sebarang aktiviti akibat daripada pembedahan ketumbuhan di pankreas, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kembali ke arena politik.

Beliau membuat kemunculan dalam siri kempen calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

"Saya hampir tiga bulan tak beri ucapan di khalayak ramai disebabkan keadaan saya yang agak uzur.

"Inilah pertama kali saya keluar Kuala Lumpur sampaikan ucapan atas sebab nak nyatakan sokongan padu kepada calon HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Port Dickson," jelasnya.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian dalam majlis ceramah politik di perkarangan Masjid Bagan Pinang, Port Dickson, malam ini.

Hadir sama, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan, Tan Sri Rais Yatim.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PRK Port Dickson menterjemahkan erti demokrasi yang memberi ruang untuk Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Ruang demokrasi terbuka

Malah katanya pengundi Port Dickson mempunyai pilihan sama ada untuk membenarkan impian itu tercapai atau tidak.

"Ini PRK yang besar ertinya iaitu ruang demokrasi terbuka untuk tentukan wakil di Port Dickson.

"Dia (Anwar Ibrahim) adalah Presiden PKR dan amat bermakna untuk parti dan pengundi Port Dickson diberi laluan kepada beliau," kata anggota parlimen Pagoh itu.

Isnin malam lalu pada majlis Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia di PD Waterfront di Port Dickson, Muhyiddin tidak dapat hadir.

Anwar berdepan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, termasuk daripada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.