Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sukarelawan APM dakwa tidak terima elaun sejak Ogos lepas
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 7:20 AM
Dikemaskini: 11:23 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menjelaskan isu tunggakan pembayaran elaun kerja membabitkan lebih 100 sukarelawan sepenuh masa Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah Kerian.

Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pihaknya menerima satu memorandum rayuan daripada staf APM Kerian baru-baru ini yang tidak menerima elaun tetap kerja sejak Ogos lepas.

“Kakitangan APM terbabit mempunyai komitmen hidup… mereka aset penting APM dalam melancarkan operasi pengurusan bencana daerah itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bubur asyura anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Serai Jaya di Bagan Serai semalam.

Noor Azmi berkata difahamkan elaun tetap itu tidak dibayar kerana KDN belum menyalurkan peruntukan tambahan suku keempat tahun 2018 kepada APM.

Katanya, APM sebelum ini di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak berdepan sebarang masalah, namun apabila agensi itu dipindahkan di bawah KDN masalah mula timbul apabila peruntukan tambahan itu belum disalurkan kepada APM.

-  Bernama

Lihat Komen
ADS