Berita Malaysiakini

Pemandu lori lawan arus didenda RM10,200

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang pemandu lori yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan didenda RM10,200 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah terhadap pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan di Shah Alam bermula 2008 hingga kini.

Majistret P. Sarulatha turut memerintahkan G. Alagenran, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) menjalani hukuman penjara 102 hari, sekiranya gagal bayar denda.

Beliau bagaimanapun gagal bayar denda itu dan dihantar ke Penjara Kajang.

Alagenran yang merupakan bapa kepada empat anak menghadapi 16 pertuduhan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dilakukan di Shah Alam bermula 2008 hingga kini.

Beliau yang mempunyai 12 waran tangkap di Shah Alam didakwa di bawah Seksyen 26 (1), Seksyen 56(1) dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pelbagai kesalahan lalu lintas.

- Bernama