Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hati terakhir PRK PD: Sokongan tertumpu pada Anwar dan Isa

PRK PD | Kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson akan melabuhkan tirainya esok dengan sokongan pengundi Melayu dilihat terarah pada dua calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Lima calon lain termasuk dari PAS, Mohd Nazari Mokhtar, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan dan Chee Yuen kurang mendapat perhatian pengundi berdaftar parlimen Port Dikcson.

Tinjauan ini dibuat di sekitar dewan undangan negeri (DUN) Linggi dan Bagan Pinang, yang merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu. Manakala Kem tentera Segenting juga terletak di Bagan Pinang.

Kedua-dua DUN ini juga boleh dikatakan kubu kuat BN sejak 2008.

Seorang peniaga kecil, Mohd Fairuz Jimin, 34, berkata beliau kini masih lagi mempertimbangkan calon yang berkenan di hatinya.

"Bagi saya macam Anwar aura dia dekat sini okeylah, ada sambutan di sini. Beliau juga akan jadi perdana menteri yang kelapan.

"Manakala bagi calon bebas saya nampak Mohd Isa paling kuat, sebab dia penduduk tempatan dan pernah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan," katanya yang merupakan pengundi di DUN Bagan Pinang.

Perkara yang sama turut dinyatakan Abu Bakar Deli, seorang pesara kerajaan.

"Fokus kita kini terbahagi kepada dua sekarang ini, satunya kepada calon HARAPAN (Anwar) dan satu lagi (calon bebas) Mohd Isa," katanya yang merupakan pengundi DUN Linggi.

Bagi Mohd Jasrin Kasnin, 46, yang merupakan pengerusi persatuan penjaja Port Dickson, kecenderungan di kalangan pengundi parlimen itu sukar untuk diukur.

Bagaimanapun, katanya, respons yang diberikan kawan-kawannya terhadap isu-isu dibangkitkan menunjukkan sokongan mereka memihak kepada pembangkang.

"Kita lihat untuk PRK ini masing-masing ada kelebihan dan peluang pun 50-50 antara calon HARAPAN dan calon bebas, Mohd Isa.

"Beliau pernah berkhidmat begitu lama sebagai menteri besar dan kita tahu di Port Dickson ini banyak jasa-jasa beliau terhadap kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain.

"Semasa beliau menjadi menteri besar banyak hal-hal yang telah diselesaikan termasuklah hal berkaitan tanah, penduduk miskin tegar, dan soal bantuan yang disalurkan kerajaan terdahulu.

"Anwar pula seperti mana yang kita tahu kewibawaan dia sebagai pemimpin memang diketahui umum dan kita lihat kepimpinan beliau banyak membantu orang Melayu, jadi peluang itu 50-50," katanya yang merupakan pengundi di DUN Bagan Pinang.

Berhubung rekod Mohd Isa yang dikaitkan dengan skandal, kata Mohd Jasrin, orang tempatan lebih peduli hal-hal seperti kebajikan untuk warga tempatan berbanding "cerita di peringkat atasan".

Anwar bertumpu di kawasan Cina, India

Tambah Mohd Jasrin, terdapat rungutan terhadap gerak kerja Anwar yang lebih banyak berkempen di tempat-tempat yang penduduknya majoriti India dan Cina

"Beliau kurang mendekati pengundi-pengundi di kampung-kampung Melayu, itu saya lihat membahayakan untuk pengundi lebih menyokong beliau.

"Ia berbeza dengan Isa yang lebih cenderung mendekati pengundi Melayu khusunya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dan Linggi.

"Mohd Isa dah biasa dengan jalan-jalan, lorong-lorong, kampung-kampung dan penempatan orang asli, beliau banyak masuk (ke kawasan-kawasan itu) dan kita pun memang dah kenal lama dengan keluarga beliau, selain sering kita jemput ke majlis-majlis dan beliau tak ada masalah untuk hadir," katanya.

Sementara itu, pemerhatian Malaysiakini mendapati gerak kerja Anwar lebih tertumpu di kawasan majoriti bukan Melayu iaitu di DUN Chuah, Lukut dan Seri Tanjung.

Pengundi di Chuah dan Lukut terdiri daripada majoriti pengundi Cina.

Sri Tanjung merupakan kawasan campuran pelbagai kaum dan terletaknya industri minyak dan gas di Port Dickson.

Menurut data pilihan raya umum (PRU) ke-14, kawasan parlimen ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus.

Calon HARAPAN itu dilihat seakan tidak begitu menumpukan kempennya di bahagian selatan Negeri Sembilan ini, yang menempatkan banyak perkampungan Melayu.

Jika ada sekalipun Anwar ke DUN Bagan Pinang dan Linggi ia tidak mengambil masa yang lama.

Malah, Anwar dilihat begitu tergesa-gesa dalam setiap siri jelajahnya.

'Calon bersih'

Seorang lagi pesara kerajaan yang ditemui, Mohd Alwi Taib, 58, pula berkata dia lebih cenderung untuk memilih wakil rakyat yang bebas daripada sebarang kontroversi.

Ini kerana, katanya yang juga merupakan seorang pemandu teksi bermeter di Bandar Port Dickson, rekod bersih menjadi keutamaannya.

"Kalau saya, saya pilihan calon yang bersih. Maksudnya saya akan pilih calon yang tak terpalit dengan apa-apa kes baik yang baru atau lama.

"Kita kena ambil kira juga semua itu. Kalau ikut rekod Mohd Isa, Anwar dan Saiful memang dah ada rekod sendiri, jadi kita kena tengoklah calon-calon lain yang bersih termasuk calon PAS.

"Sebab bila calon yang tak bersih ini bermasalah juga di masa depan, macam Anwar. Dalam waktu kempen pun dah ramai buat laporan (polis) mengenai beliau, jadi kalau beliau menang nanti macam mana pula?" katanya.

Alwai turut menyifatkan PRK ini yang akan diadakan esok hanyalah "pembaziran" dan semata-mata untuk memenuhi kehendak seseorang.

"Kalau betul-betul gentleman, kena tunggulah ada anggota parlimen yang mati. Tak betul cara yang dilakukan untuk mengadakan PRK ini. Itu yang bagi saya tak puas hati dan membazir," keluhnya.

PRK Port Dickson diadakan susulan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah bertindak mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke parlimen sekiranya menang.

Faktor peratusan keluar mengundi

Sekiranya jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah yang terjadi di tiga PRK sebelum ini berterusan di Port Dickson, peluang Anwar untuk memastikan kemenangan dilihat terjejas.

Pada PRK di Seri Setia yang diadakan sebelum ini, undi kepada HARAPAN menurun sebanyak lapan peratus iaitu sebanyak 58.6 peratus berbanding 66.6 peratus semasa PRU14.

Berkongsi pandangan dengan Malaysiakini, penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani meramalkan Anwar akan memenangi PRK Sabtu ini.

"Anwar akan menang. Sama ada besar atau kecil bergantung pada jumlah keluar mengundi yang akan jatuh kali ini. Anwar perlukan jumlah keluar mengundi sekurang-kurangnya 60 peratus," katanya kepada Malaysiakini.

Turut berkongsi pendapat yang sama adalah penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Dekan Fakulti Undang-Undang, Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata strategi Anwar yang lebih cenderung mendekati pengundi Cina dan India di parlimen itu adalah tepat.

"Kalau kita tengok kepada maklum balas pengundi-pengundi dan juga sambutan ketika kempen secara keseluruhan HARAPAN mempunyai peluang, melalui siri kempen beliau (Anwar) juga memperlihatkan pemimpin PKR itu diterima ramai.

"Namun, kita juga tidak boleh menidakkan sambutan yang diberikan kepada Mohd Isa kerana beliau merupakan bekas ADUN kawasan tersebut dan dalam masa yang sama mempunyai pengaruh yang kuat di situ.

"Bagi calon lain pula tidak memperlihatkan impak yang besar daripada mereka. Mungkin juga yang boleh memberi saingan adalah calon PAS.

"Tak ada masalah untuk (Anwar) menang cuma sama ada majoriti menang itu besar atau kecil bergantung kepada peratusan keluar mengundi Sabtu ini," tambahnya.

Pada PRU lalu, HARAPAN memenangi kerusi di Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi.

Lihat Komen
ADS