Berita Malaysiakini

Beberapa hadirin dakwa majlis makan malam bersama Anwar percuma

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Meskipun mendapat kritikan BERSIH, Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di majlis makan malam yang menjadi pertikaian, semalam.

Sebelum ini, penganjur majlis berkenaan mendakwa 380 meja yang disediakan dalam majlis itu berbayar, namun beberapa hadirin yang enggan namanya didedahkan memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mendapat tiket percuma.

Daripada lapan yang sempat ditemui, lima daripadanya menyifatkan majlis itu sebagai majlis makan malam percuma, sementara tiga yang lain berkata mereka memerlukan tiket masuk.

Ketika ditanya tentang harga tiket yang dimaksudkan, dua daripada mereka berkata "tidak tahu", seorang yang lain mendakwa tiket itu dibeli oleh "orang lain" pada harga RM300 hingga RM400 untuk satu meja, yang mana bercanggah dengan yang dimaklumkan penganjur sebelum ini.

Jawatankuasa penganjur, Yong Yee Seing dan pengerusinya, Wong Chee Swee memberitahu Malaysiakini Rabu lalu pada hadirin perlu membayar RM60 seorang.

Namun, tiada pemeriksaan tiket dilihat di pintu masuk majlis berkenaan semalam dengan hadirin dilihat bebas keluar dan masuk.

Wong, yang ditanya berhubung perkara itu menjelaskan bahawa terdapat majikan tertentu yang membayar tiket.

"Yang tidak ada tiket ditaja oleh majikan mereka.

"Sesetengah majikan mempunyai ramai kakitangan dan mereka bayar tiket untuk pekerja mereka," katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri Lukut, Choo Ken Hwa sebelum ini menimbulkan kebimbangan berhubung majlis berkenaan dan menyifatkan ia sebagai amalan tidak sihat yang boleh memperlihatkan HARAPAN mengikut jejak BN dalam berkempen.

Semalam, Anwar tiba di majlis itu dengan sambutan tarian singa. Wong dan ahli perniagaan kontroversi Koo Tee Yam dilihat menyambut presiden PKR itu di pintu masuk.

Koo juga dilihat duduk di meja utama sebelah calon ketika makan malam berkenaan.

Dalam ucapannya, Anwar menyatakan rasa gembira menghadiri majlis itu dan senang hari dengan sambutan yang diterima dari pelbagai kaum di Port Dickson.

Selain menandatangani sebuah lukisan kaligrafi, Anwar turut sempat mengungkapkan beberapa ayat dalam bahasa Mandarin yang bererti "Sokong kepimpinan Anwar untuk meningkatkan Port Dickson".

Pemimpin HARAPAN yang dilihat hadir adalah Naib Presiden PKR Tian Chua, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, bekas anggota parlimen PKR Danyal Balagopal Abdullah, Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Anggota Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang, Exco Perak Tan Kar Hing dan ADUN Teja Sandrea Ng.

Tiada pemimpin DAP selain ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu hadir majlis makan malam itu.

[Baca berita asal]