Berita Malaysiakini

Lebuh raya tanpa tol tidak mungkin diwujudkan - Dr M

M. Saraswathi, Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir mendedahkan beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

"Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar."

"Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma… ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol," katanya kepada Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Bali pada hari Khamis.

Perhimpunan itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia bertemakan "Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global”.

Ini lawatan kali kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak menjadi perdana menteri bagi kali kedua susulan pilihan raya bersejarah Malaysia pada Mei dan perhimpunan di peringkat ASEAN menjelang Sidang Kemuncak perkumpulan 10 anggota itu bulan depan di Singapura.

Menjelaskan selanjutnya tentang tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.

"Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya,. Mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?"

Dr Mahathir berkata di England tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai malah lebih tinggi.

"Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar. Tetapi di sini pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita. Bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?"

Dr Mahathir sebelum ini berkata kerajaan Pakatan Harapan perlu menyemak semula beberapa perkara yang diikrarkan oleh sebab sebahagiannya akan mengakibatkan kerugian yang sangat besar jika dilaksanakan.

- Bernama