Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib hanya mampu berdoa buat rakyat
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 11:27 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangannya dengan keputusan kerajaan yang menangguhkan atau memansuhkan projek-projek infrastruktur yang diluluskan semasa pentadbiran BN sebelum ini.

Katanya, semua projek berkenaan adalah untuk kemudahan rakyat.

“Supaya mudah buat rakyat berulang-alik, tidak terlalu bergantung kepada kereta. Supaya rakyat kita dapat pekerjaan.

“Supaya graduan kita dapat pengalaman latihan dan kemahiran, bersama-sama membina sebuah mercu tanda negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam semalam.

Namun, menurut Najib, kerajaan Pakatan Harapan hari ini hanya memikirkan keuntungan dan tidak terfikir impak kepada kebajikan rakyat.

“Saya resah dengar, berpuluh ribu rakyat kehilangan nafkah, memikirkan ada berpuluh ribu lagi akan kehilangan kerja.

“Saya resah bayangkan kehidupan keluarga mereka selepas ini, ada yang gaji mereka cuma RM1,200 sebulan. Dulu, kita cipta peluang pekerjaan bagi graduan kita membangunkan Malaysia. Dengan pekerjaan stabil, mereka dapat membina rumah tangga dan keluarga,” katanya.

Najib tidak menyebut secara khusus projek-projek berkenaan tetapi adalah jelas ia merujuk kepada penggantungan sementara projek bawah tanah MRT2 yang sebelum ini diberikan kepada Gamuda Bhd dan MMC Corp Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MMC-Gamuda berkata, lebih 20,000 tenaga kerja akan kehilangan pekerjaan selepas kontrak kerja bawah tanah itu ditamatkan.

Selain projek MRT2, projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bersama China dan projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dengan Singapura juga sedang dikaji semula.

“Saya tidak terfikir kesenangan saudara-saudari sekeluarga akan bertukar jadi kesusahan.

“Saya tidak terfikir kerajaan yang berdendam dengan saya seorang akan membawa kesusahan pada saudara-saudari.

“Ketika ini saya hanya mampu berdoa untuk semua,” katanya.

Lihat Komen
ADS