Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fuziah keluar jawatankuasa semakan semula Lynas
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 1:10 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh melepaskan jawatannya selaku pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula Lynas.

Katanya, tindakan itu bagi mengelakkan kehadiran beliau dijadikan alasan untuk mempersoalkan ketelusan jawatankuasa tersebut dan dianggap berat sebelah.

"Secara peribadi saya tidak mahu Lynas menggunakan saya sebagai isu untuk mereka mengalih tumpuan daripada isu sebenar.

“Jika saya menjadi pengerusi jawatankuasa ini, Lynas bantai saya. Jadi, ia tidak meceritakan masalah sebenar.

"Akhirnya saya membuat keputusan keluar daripada jawatankuasa tersebut. Saya tidak mahu memberi Lynas alasan," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Kuantan itu juga berkata, beliau membuat keputusan berkenaan pada Selasa lalu dan sudah memaklumkannya kepada kabinet. Fuziah lantang mengkritik Lynas sejak projek berkenaan diperkenalkan pada 2008.

Pada 8 Julai lalu, dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin mengumumkan Fuziah dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack akan mengetuai jawatankuasa itu.

Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan itu adalah antara beberapa projek berisiko kepada alam sekitar yang telah dikenalpasti pihaknya untuk disemak semula. Tugas jawatankuasa itu adalah meneliti operasinya.

Fuziah dan Wong Tack, sebelum ini terlibat aktif menentang operasi Lynas oleh syarikat perlombongan Australia itu berikutan kebimbangan projek itu menjejaskan alam sekitar dan kesihatan. Mereka juga pernah membuat bantahan sejak sebelum Lynas diberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30 Jan 2012.

Pada 26 Feb tahun yang sama, Wong Tack berjaya menghimpunkan ribuan orang untuk berhimpun membantah Lynas, di tengah-tengah kebimbangan bahawa projek itu melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Fuziah, pula selama tiga penggal sebagai anggota parlimen, secara konsisten membantah projek itu pada sidang parlimen.

Lihat Komen
ADS