Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC mahu anjur himpunan bantah gaji minimum 'tak realistik'

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggesa mengkaji semula gaji minimum RM1,050 yang bakal dikuatkuasakan di seluruh negara bermula Januari depan.

Perhimpunan itu dijangka akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 17 Okt dan hadirin dijangka berarak ke parlimen bagi menyerahkan memorandum berkenaan kepada Dr Mahathir, kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon.

Pada 17 Okt juga adalah Hari Pembasmian Kemiskinan Dunia.

Solomon berkata, 25 badan bukan kerajaan (NGO) telah bersetuju dengan gesaan MTUC agar kerajaan mengkaji gaji minimum berkenaan yang disifatkan sebagai tidak realistik kepada kumpulan miskin tegar atau B40 kerana kos hidup yang tinggi ketika ini.

Antara yang terlibat termasuklah Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, uaram, Parti Sosialis Malaysia, Organisasi Bantuan Wanita, Kumpulan Wanita Bertindak Sabah dan Sisters in Islam.

Solomon berkata, kerajaan mengamalkan diskriminasi apabila mendengar cadangan majikan serta mengetepikan cadangan yang dibuat Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) dan MTUC.

"JTPGN telah buat cadangan dan kajian dalam dua tahun, dan mereka telah sampai ke satu cadangan dan dihantar ke kabinet. Lepas buat kajian oleh beberapa individu yang neutral, kebanyakan anggota jawatankuasa itu adalah profesor. Mereka bukan dari pihak majikan atau pekerja..

"Kami hairan kenapa kabinet tak gunakan cadangan mereka. Tapi kabinet cadangan majikan. ini diskriminasi yang tak boleh diterima," katanya dalam sidang media di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Solomon menggesa kerajaan mendedahkan laporan itu kepada awam agar rakyat dapat mengenal pasti cadangan dan kriteria yang digunakan oleh jawatankuasa itu dalam mencapai hasil kajian mereka.

"Laporan oleh mereka dianggap sebagai rahsia. Kami desak kerajaan supaya declassify laporan itu kerana masyarakat Malaysia harus kenal pasti apakah cadangan daripada jawatankuasa teknikal ini.

"Apakah kriteria yang digunakan mereka untuk sampai ke jumlah (gaji minimum) yang mereka cadangkan itu. Ini adalah penting untuk masyarakat Malaysia. Kenapa nak rahsiakan dokumen itu? kalau dokumen seperti 1MDB pun boleh declassify, apa salahnya nak declassify laporan jawatankuasa teknikal ini?" katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS