Berita Malaysiakini

Pandangan k'jaan British dalam isu MA63 perlu didengar

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Aktivis sosial, Datuk Patrick Sindu mencadangkan agar Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan bagi menyemak dan menyelaraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut menjemput kerajaan British untuk memberi pandangan mereka berhubung MA63.

Patrick berkata, pandangan kerajaan British perlu diambil kira kerana merekalah antara pihak terlibat dalam memulakan perjanjian berkenaan.

"Mereka (kerajaan British) masih ada tanggungjawab. Perjanjian Malaysia 1963 adalah perjanjian antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kerajaan British perlu beri nasihat," katanya ketika menghubungi Bernama hari ini.

Pada 10 Okt lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew View Keong mengumumkan 16 nama anggota Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak dan menyelaraskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selain Liew View Keong, mereka yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Anggota lain ialah Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Professor Undang-undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Sabah Zaleha Rose Pandin dan Peguam Besar Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan mereka senada dalam perjuangan untuk mendapatkan semula hak dan kuasa kedua-dua negeri seperti yang termaktub dalam MA63, Patrick berkata beliau gembira dengan kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Kedua-dua pemimpin Sabah dan Sarawak berkenaan perlu senada dalam soal tuntutan agar status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam persekutuan Malaysia dapat direalisasikan seperti termaktub dalam MA63, katanya.

Mohd Shafie dan Abang Johari menyatakan pendirian mereka berhubung MA63 ketika kedua-dua pemimpin mengadakan perjumpaan di Kuching, Sarawak semalam.

- Bernama