Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sepanduk 'Jom Undi PAS' tertera logo Umno di PD
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 2:35 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

PRK PD | Sebuah sepanduk dengan slogan 'Jom Undi PAS' dengan tertera logo Umno dilihat tergantung di Jalan Bakar Sampah di Kampung Paya, Port Dickson, tengah hari tadi.

Sepanduk dengan latar biru itu diikat di sebelah poster gergasi calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Mohd Nazari Mokhtar.

Ketua Umno Bahagian Port Dickson Mohd Faizal Ramli bagaimanapun menafikan anggota partinya menggantung sepanduk itu.

"Kami, Umno atau BN, tidak terlibat dengan sebarang kempen di Port Dickson.

"Saya cuma tahu kewujudan sepanduk itu dengan logo Umno apabila kamu bagitahu," kata Faizal kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sekumpulan kecil penyokong PAS dilihat berdiri di simpang jalan berkenaan memegang belon berwarna hijau dan kadbod yang menyeru pengundi menyokong parti mereka.

Beberapa pengguna jalan raya membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Pada tiga siri PRK sebelum ini, PAS dan Umno dilihat bekerjasama untuk mencapai persefahaman dalam meletakkan calon.

Bagaimanapun, Umno dan BN mengambil keputusan untuk memboikot PRK Port Dickson, sementara PAS meletakkan pesara tentera sebagai calon di PRK yang diadakan di kawasan yang mendapat julukan Bandar Tentera Darat itu.

Mohd Nazari akan bertanding dalam pertembungan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan lima calon bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

PRK Port Dickson yang akan berlangsung esok diadakan selepas penyandang parlimen itu Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke parlimen sekiranya menang.

Lihat Komen
ADS