PAS tidak sembah derhaka terhadap agong - Takiyuddin
Pandangan PAS dalam isu kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tidak boleh dianggap sebagai sembah derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata PAS tidak menafikan pengampunan penuh di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan oleh Seri Paduka kepada Anwar, sebaliknya mempersoalkan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat gagal mentafsir kelayakan Ketua Umum PKR itu untuk bertanding pada PRK Parlimen itu.
"Saya percaya, Seri Paduka telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya, adakah Anwar menerima pengampunan bebas di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan?,
"PAS suarakan bantahan isu undang-undang ini kepada SPR... sekiranya SPR tidak mampu membuat tafsiran jelas (tentang kelayakan Anwar untuk bertanding di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan), SPR perlu merujuk kepada mahkamah sebelum pilihan raya dilaksanakan...bagi saya SPR tidak menjalankan peranan dengan sepatutnya," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Markas PAS dekat Telok Kemang, dekat sini.
Turut hadir, dua Naib Presiden PAS iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad dan Idris Ahmad serta calon PAS bagi PRK Port Dickson Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Sebelum ini Pengarah Komunikasi Strategik PKR Fahmi Fadzi dilaporkan berkata usaha PAS untuk terus mempersoalkan kelayakan Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Port Dickson dengan menyebut beliau tidak mendapat pengampunan penuh akan menjadi sembah derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
PAS lantang bersuara mempersoalkan kelayakan Ketua Umum PKR itu menjadi calon pada PRK berkenaan, kerana Anwar hanya mendapat pengampunan penuh di bawah Perkara 42, namun tidak diberikan pengampunan bebas di bawah Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan beliau bertanding dalam mana-mana pilihan raya.
Sementara itu, mengulas mengenai kajian Institut Darul Ehsan (IDE) yang mendapati 74 peratus pengundi cenderung memilih Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berbanding enam calon lain bagi PRK Parlimen Port Dickson, Takiyyudin mendakwa keputusan kajian berkenaan boleh dipersoalkan.
"Apa IDE buat boleh dipersoalkan, ini lebih kurang Invoke dahulu yang kata PAS kalah teruk pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lepas. Invoke itu adik-beradik IDE, itu tidak menggambarkan kajian yang meyakinkan," katanya.
PRK Parlimen Port Dickson bakal menyaksikan persaingan tujuh penjuru membabitkan Anwar, Mohd Nazari dan lima lagi calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Kawasan parlimen Port Dickson terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus dari sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.
- Bernama

