Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman setuju bahawa undang-undang perlu digubal bagi mengelakkan pilihan raya kecil diadakan melalui peletakan jawatan penyandangnya.

"Saya setuju mesti ada (undang-undang), bukan sekadar untuk menghalang, tetapi juga untuk mengawal hal-hal semacam ini," katanya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Abdul Rashid, yang pernah mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), berkata sesuatu kerusi hanya boleh dikosongkan apabila perlu untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berkata undang-undang sedemikian tidak boleh digubal atau dipinda di bawah undang-undang pilihan raya sedia ada, tetapi undang-undang yang berkaitan dengan Parlimen.

"Ini bukan fungsi SPR untuk menghentikan indidividu meletakkan jawatan kerana SPR hanya mengendalikan pilihan raya apabila ada kekosongan," katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dikritik banyak pihak selepas penyandangnya meletakkan jawatan untuk membolehkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi itu.

Anwar, yang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat, memperoleh pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan dibebaskan pada 16 Mei.

Beliau dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai perdana menteri kelapan bagi mengambil alih jawatan itu daripada Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun tiada tempoh masa ditetapkan.

Sebelum ini, dua pilihan raya kecil diadakan untuk membolehkan Anwar bertanding iaitu pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008 dan pilihan raya kecil Kajang pada tahun 2014.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke politik.

Pada 2014, kerusi DUN Kajang dikosongkan dengan harapan untuk menjadikan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, sabitan bersalah oleh Mahkamah Rayuan dalam kes liwat Anwar menyebabkan Wan Azizah menggantikannya sebagai calon PKR di Kajang.

Timbalan presiden parti itu Datuk Seri Azmin Ali akhirnya dilantik sebagai menteri besar.

Lihat Komen
ADS