Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganjur Oktoberfest perlu lebih sensitif - Mufti Pahang
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 3:58 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Penganjur program pesta arak, Oktoberfest 2018, di ibu kota perlu lebih sensitif dengan kedudukan agama dan umat Islam di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata larangan meminum arak ke atas umat Islam telah sedia maklum oleh penganut agama lain.

Beliau juga menyifatkan penganjuran pesta itu sebagai satu penghinaan kepada umat Islam terutamanya di Malaysia yang telah menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan.

"Saya membantah penganjuran pesta arak ini. Mereka kata penganjuran di tempat tertutup, tetapi lokasi (Mid Valley Megamall) itu tempat umum dan menjadi tumpuan orang ramai setiap hari tanpa mengira agama.

"Orang bukan Islam hendak minum di rumah mereka atau premis peribadi mereka, itu terpulang… tiada halangan daripada kita selaku umat Islam," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Karnival Usahawan Asnaf Pahang 2018 di Dataran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan hari ini..

Abdul Rahman berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memberi lampu hijau penganjuran pesta itu jika penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi semua garis panduan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka.

Abdul Rahman menambah hak orang Islam seharusnya dihormati sama seperti orang Islam yang hidup bertolak ansur dengan penganut agama lain selama ini.

"Kita tidak mahu wujud rasa tidak wajar atau pertelingkahan yang boleh merosakkan keharmonian dan hormat menghormati di antara satu sama lain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS