Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN T'ganu: Tukar nama RTC tak beri manfaat, membazir

Keputusan kerajaan mahu menukar nama Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dilihat tidak memberi sebarang manfaat, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu, Mohd Hasbie Muda.

Malah menurutnya, legasi yang ditinggalkan kepimpinan kerajaan terdahulu sewajarnya dihormati.

"Bagi saya menteri wajar jelaskan manfaat penukaran nama (RTC) itu sebab ia turut melibatkan implikasi kos. Jika tiada manfaat wajar kekalkan saja.

"Kita bimbang perkara ini menjadi amalan, kerajaan bertukar maka nama (agensi) pun bertukar," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan semua 201 RTC di seluruh negara akan dijenamakan sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).

Perkara itu diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun bagi penjenamaan semula bermula bulan ini merangkumi 196 mini RTC dan lima RTC di samping meningkatkan matlamat penubuhannya pada masa depan.

Katanya, fungsi PKD akan ditambah baik, antaranya bagi menempatkan lebih ramai usahawan, khususnya masyarakat luar bandar untuk memasarkan produk jualan dan perniagaan di pusat berkenaan.

"Semua mini RTC mahupun RTC selepas ini hanya akan dikenali sebagai PKD," jelasnya seperti dilaporkan BH Online, semalam.

Sementara itu Mohd Hasbie berkata, nama RTC itu wajar dikekalkan bagi menghormati legasi pemimpin terdahulu.

"Bagi saya legasi pemimpin terdahulu wajar dihormati. Hasil kerja mereka perlu dihormati.

"Perkataan transfomasi tu agak umum. Berbeza dengan slogan 1 Malaysia yang jelas suatu propaganda atau kempen politik," katanya.

Tambah beliau, keputusan itu juga mengundang cemuhan rakyat selain membazir.

"Ya (cemuhan rakyat), sebab nampak tak bermanfaat lagi pun masa untuk kerajaan berjimat cermat.

"Menteri sewajarnya fokus kepada nilai tambah yang boleh dijana melalui institusi sedia ada. Rakyat tidak peduli pada nama tetapi apa manfaat yang mereka dapat," ujarnya.

Lihat Komen
ADS