Berita Malaysiakini

Isu dapat dana Umno: PAS terbuka SPRM siasat - Hadi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS menegaskan bahawa dakwaan kononnya ada pemindahan dana berjumlah RM2.5 juta daripada Umno kepada parti itu hanyalah satu fitnah yang bertujuan memburuk-burukkannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS berulang kali menyatakan kesediaan untuk disiasat berhubung perkara itu bagi memastikan parti itu bersih daripada sebarang anasir yang tidak baik.

"Isu dana dah jawab acap kali dan saya juga dah beritahu banyak kali yang PAS terbuka untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk menteri besar kita, dan exco jika ada salah laku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Diskusi Kesihatan di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila di Marang, Terengganu hari ini.

Beliau berkata PAS sentiasa bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam yang ingin menyumbang atau memberikan derma bagi meneruskan kelangsungan parti tersebut.

“Oleh itu mana-mana pihak termasuk Umno boleh menyumbang kepada akaun parti tanpa perlu diketahui identiti atau dipersoal sumber kewangan itu,” katanya.

- Bernama