Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukang cat didakwa miliki alat buat wang palsu
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 5:46 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Seorang tukang cat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuantani hari ini, atas tuduhan memiliki peralatan menghasilkan wang palsu serta kad pengenalan palsu, Jumaat lepas.

Pengakuan Muhammad Ridzuan Cheong Abdullah, 34, direkodkan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan.

Tertuduh didakwa memiliki pelbagai peralatan menghasikan wang palsu, 42 keping wang kertas RM50 dan enam keping wang RM100, yang semuanya palsu dengan niat untuk digunakan sebagai tulen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.45 petang, 5 Okt lepas di sebuah rumah di Lorong Alor Akar 64, Taman Alor Akar di Kuantan..

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa atas kesalahan memiliki lebih daripada satu kad pengenalan yang diketahuinya palsu pada masa, hari dan di tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1)(c) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan RM18,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari dikurangkan kerana pendapatannya hanya RM1,000 sebulan.

"Saya juga menanggung seorang isteri, ibu dan seorang anak," katanya.

Siti Aminah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 14 Nov untuk lantikan peguam.

- Bernama

Lihat Komen
ADS