Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis perlu ambil tindakan sewajarnya - Lam Thye
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 5:51 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap kes individu dipercayai bergelar Datuk yang menyerang penjaga tempat meletak kenderaan baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu dilakukan kerana individu dengan status seperti itu sepatutnya tidak melakukan tindakan sedemikian lebih-lebih lagi di tempat awam dan perkara itu telah tular di internet.

“Individu itu sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dan bukannya bersikap seperti yang dapat kita lihat itu.

Bagaimanapun, saya berpendapat kita seharusnya menyerahkan perkara itu kepada pihak polis sama ada diteruskan siasatan atau sebaliknya,” katanya.

Pakar Kriminologi Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim pula menggesa siasatan dijalankan kerana penjaga tempat meletak kenderaan itu telah membuat laporan polis dan seseorang individu tidak mempunyai kuasa untuk menyerang individu lain.

“Siasatan juga perlu dibuat sebagai pengajaran kepada orang lain. Jika berlaku sebarang perselisihan faham, sepatutnya boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa dan bukan memukul,” katanya ketika dihubungi.

Polis dilaporkan telah mengambil keterangan individu dipercayai bergelar Datuk itu selepas insiden berkenaan berlaku di tempat meletak kenderaan di sebuah hotel di sini pada 18 Sept.

Dalam laporan kepada polis pada 19 Sept, penjaga tempat meletak kenderaan itu menyebut, penyerang bertindak demikian kerana beliau enggan menaikkan palang tempat letak kereta selepas mendapati individu dipercayai bergelar Datuk itu enggan membayar tiket berjumlah RM3.

Terbaru, akhbar juga melaporkan terdapat gambar individu dipercayai bergelar Datuk itu bersalam dengan penjaga meletak kenderaan berkenaan tular di internet, seolah-olah perkara itu telah selesai.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ruslan Khalid berkata siasatan kes berkenaan tetap akan diteruskan dengan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Siasatan akan dirujuk untuk pertimbangan Timbalan Pendakwa Raya sama ada untuk mendakwa atau tidak setelah diambil kira semua faktor,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS