Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan fitnah MB Johor: Armada BERSATU buat laporan polis
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 5:56 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Armada Parti Pribumi Bersatu Negeri Johor (BERSATU) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa akaun di laman sosial Facebook yang didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah dan provokasi selain menyebarkan berita palsu terhadap Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian.

Ketua Armada Kota Tinggi Shaiful Rizal Mohd Salleh membuat laporan tersebut di Balai Polis Johor Bahru Central pada pukul 9.30 pagi.

"Kami mengambil berat atas kenyataan fitnah dan provokasi yang dikeluarkan di beberapa akaun di laman sosial Facebook seperti Ops Joho, Afiq KLtown Channel dan Johorpress.com yang menjadikan Datuk Osman Sapian sebagai sasaran termasuk serangan peribadi terhadap keluarga beliau,” kata beliau kepada pemberita di Pejabat Urusan BERSATU di Johor Bahru hari ini.

Shaiful Rizal berkata antara fitnah yang terkandung di laman sosial berkenaan termasuk ‘Menteri Besar Johor Pengkhianat Orang Kampung’ selain menuduh Menteri Besar Johor mengamalkan politik dendam sehingga membantutkan pembangunan rohani dan jasmani dengan kenyataan “Johor tidak perlukan pembangunan rohani dan jasmani termasuk penggerak masjid dan surau.”

Beliau berkata laporan polis dibuat bertujuan memberi peringatan kepada pengguna laman sosial yang lain supaya tidak melakukan penghinaan atau fitnah kepada mana-mana individu.

“Rakyat sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk berdialog dengan mana-mana pimpinan namun provokasi jahat seperti ini perlu ditolak. Kami dengan tegas menyatakan pendirian kami dan akan terus berdiri teguh bersama pimpinan Menteri Besar dan seluruh pimpinan Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan tersebut dan akan menyiasat kes tersebut di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS