Zahid disiasat SPRM hampir 8 jam
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau disoal siasat berkaitan tujuh isu oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh tiga hari.
Bercakap kepada wartawan di luar Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya petang ini, bekas timbalan perdana menteri berkata sesi hari ini merupakan yang terakhir selepas beliau dipanggil sejak Rabu lalu.
Zahid berkata beliau bersedia dipanggil sekali lagi jika diperlukan SPRM bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, Zahid tidak menyatakan tujuh isu berkenaan ketika ditanya wartawan.
"Tiga hari untuk saya berikan keterangan berdasarkan maklumat yang sungguh terperinci bagi menjelaskan tujuh perkara yang menjadi bahan siasatan.
"Saya dalam pada itu bersedia jika maklumat itu tidak lengkap, saya sedia datang semula," katanya.
"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada ketua pesuruhjaya dan pegawai kanan yang beri kerjasama," katanya.
Zahid berkata beliau berharap kenyataannya akan menjelaskan perkara yang sedang diteliti oleh penyiasat SPRM.
Berkemeja putih, Zahid keluar daripada bangunan itu pada jam 7.40 malam selepas menghabiskan hampir lapan jam untuk kenyataannya direkodkan.
Beliau menghabiskan masa selama hampir 18 jam sejak disoal siasat semalam dan kelmarin.
Ini adalah kali kelima Zahid dipanggil SPRM, termasuk dua kali pada bulan Julai apabila disoal berhubung isu berkaitan kemasukan RM2.6 bilion ke akaun bank peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa disumbangkan oleh keluarga diraja Arab Saudi.
Zahid juga sebelum ini disiasat atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.
Terdahulu, penyiasat kanan SPRM memberitahu Malaysiakini bahawa kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana didakwa menyalahgunakan kuasa untuk melakukan rasuah dan jenayah pecah amanah.
Bagaimanapun, sumber itu enggan mengesahkan jika ia berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan dana milik Yayasan Akal Budi, atau derma RM2.6 bilion.

