Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar calon 'heavyweight' tapi bukan 'heavy duty'

PRK PD | MIC Bahagian Port Dickson hari ini berkata calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon 'heavyweight' dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson tetapi mungkin bukan 'heavyduty'.

Ketua MIC Bahagian Port Dickson, Datuk M Veloo berkata Anwar kemungkinan besar berhijrah ke parlimen lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Besar kemungkinan beliau menang di PRK ini kerana beliau merupakan calon 'heavyweight'.

"Tetapi bukan 'heavyduty' yang tahan lasak atau kekal lama di Port Dickson sekiranya majoritinya tidak memuaskan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Veloo turut meminta pengundi berhati-hati dan berfikir secara mendalam sebelum memilih bakal anggota parlimen Port Dickson.

"Kita semua tahu bahawa PRK PD adalah untuk kepentingan dan cita-cita seorang sahaja.

"Malah, Anwar sendiri berkata di beberapa ceramah bahawa bekas Ahli Parlimen Datuk Danyal Balagopal akan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Ini bermakna Anwar kemungkinan besar menyerahkan tugas di PD kepada Danyal kerana beliau ada agenda lain iaitu menjadi Perdana Menteri," tegasnya lagi.

Menurutnya beliau percaya Anwar akan kembali semula ke Permatang Pauh sekiranya tidak mendapat undi majoriti yang besar di Port Dickson.

"Ini kita dapat lihat dengan jelas, ke mana sahaja Anwar berceramah perkara paling penting beliau usulkan adalah majoriti besar kepadanya," tambahnya lagi.

PRK Port Dickson diadakan selepas Danyal yang merupakan penyandang kerusi berkenaan meletak jawatan bagi memberi peluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut.

Anwar akan menghadapi calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan bekas Menteri Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad yang bertanding sebagai calon bebas.

Empat lagi calon bebas ialah Mohd Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan Lau Seck Yan.

Kerusi parlimen itu pernah menjadi kerusi tradisi MIC sejak 1974 sebelum beralih kepada Pakatan Harapan. PKR memenangi kerusi itu pada PRU lalu dengan majoriti 17,710 undi.

MIC membuat keputusan tidak bertanding pada PRK ini selepas kecewa dengan Umno yang mengumumkan hasrat untuk bertanding tanpa persetujuan daripada parti berasaskan kaum India itu.

Seramai 75,770 pengundi layak mengundi pada PRK ini yang akan diadakan esok.

 

Lihat Komen
ADS