Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin yakin pertahan jawatan nombor dua PKR
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 5:46 AM
Dikemaskini: 10:28 PM

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyuarakan keyakinan akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu meskipun berhadapan dengan saingan sengit dari pencabarnya, Mohd Rafizi Ramli.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata ahli parti pada pemilihan yang sedang berlangsung di seluruh negara boleh menilai serta melihat rekod prestasi beliau sepanjang 20 tahun memimpin perjuangan PKR.

"Insya-Allah, dengan mood dan dokongan yang ada, saya boleh nyatakan di sini saya akan terus diberikan tugas dan amanah ini dan saya akan jalankannya dengan baik dan penuh bertanggungjawab," katanya dalam program Bicara Minda bertajuk ‘Ekonomi: Kesejahteraan Untuk Semua’, di Kompleks Karangkraf, di Shah Alam semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta program yang ingin tanya apa yang akan berlaku sekiranya beliau tewas dalam pemilihan parti itu.

Katanya, beliau cukup yakin dengan kematangan anggota PKR yang akan membuat pilihan terbaik dalam pemilihan parti dan bersedia menerima apa juga keputusan yang dibuat.

Beliau mengingatkan anggota parti, khususnya yang memegang jawatan supaya tidak bergaduh demi merebut jawatan dalam pemilihan PKR, sebaliknya perlu terus mengutamakan khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata beliau adalah orang pertama yang disumbatkan ke dalam penjara sewaktu kemuncak era Reformasi pada 16 Sept 1998.

"Pada 1998 kemuncak era reformasi, saya orang pertama dicampak ke dalam lokap, lebih awal daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya dipukul, ditelanjang, semua diikat, diaibkan, namun itu ujian yang perlu saya lalui dan tidak pernah kesal. Ini hasil kita dapat 9 Mei lepas (kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS