Pemain badminton perseorangan wanita negara Goh Jin Wei menyumbang pingat emas pertama Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina selepas membuat satu lagi kejutan dalam acara itu yang berlangsung awal pagi ini waktu Malaysia.

Pemain pilihan ketiga itu menyingkirkan pilihan kedua dari China, Wang Zhiyi dengan 16-21, 21-13 dan 21-19 pada perlawanan akhir di Technopolis, demikian menurut laman sesawang temasya www.olympic.org.

Jin Wei sebelum ini menumbangkan pilihan pertama Phittayaporn Chaiwan dari Thailand pada pertemuan separuh akhir yang berlangsung Khamis.

Sementara itu, pasukan hoki negara terus mencatat prestasi cemerlang apabila mara ke separuh akhir acara hoki lelaki lima sebelah selepas menundukkan Austria 2-0 pada perlawanan suku akhir.

Penyerang skuad kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul wira negara menerusi kedua-dua gol yang dijaringkan, masing-masing pada minit ke-11 dan -19.

Malaysia akan bertemu Zambia pada Sabtu (awal pagi esok waktu Malaysia) selepas pasukan negara Afrika itu mengejutkan juara bertahan Australia 6-4 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kejayaan itu harus diberi pengiktirafan besar.

“Buat kali pertama dalam sejarah, kita meraih pingat emas pertama menerusi Goh Jin Wei,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara 2018 peringkat kebangsaan di Dataran Keris, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Nada serupa turut disuarakan Presiden Persatuan Badminton (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang berkata Jin Wei, 18, satu-satunya pemain negara memenangi emas pada Sukan Olimpik Remaja dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

“Kejayaan ini diharap dapat mencetuskan inspirasi kepada beliau untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik (Tokyo 2020) nanti.

“Kejayaan ini juga menunjukkan pelaburan BAM dalam melahirkan generasi muda dalam sukan badminton berjaya, terutamanya dengan kemenangan pemain muda lelaki negara, Lee Zii Jia pada Terbuka Taiwan, awal bulan ini,” katanya.

- Bernama