Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR terima laporan penyokong dua parti berkempen
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 2:10 PM
Dikemaskini: 6:13 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menerima laporan berhubung penyokong dua parti politik di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang, masih berkempen di pintu masuk PDM.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pihaknya telah mengarahkan pegawai penguat kuasa pilihan raya untuk mengambil tindakan.

“Saya terima aduan ada penyokong dua parti politik memaparkan bendera dan lambang parti politik betul-betul di pintu masuk PDM berkenaan.

“Saya ingin sekali lagi menegaskan, berkempen semasa hari mengundi dilarang sama sekali kerana ia bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, tindakan tegas boleh dikuatkuasakan.

“Saya juga ingin memberi arahan tegas… hentikan perbuatan itu serta-merta dan jangan melanggar peraturan SPR daripada kedua-dua parti politik yang terlibat... saya tidak kisah mereka itu siapa,” katanya selepas mengadakan lawatan di PDM Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson hari ini..

Mengulas lanjut, Azhar berkata apa yang boleh dilakukan pihaknya iaitu mengarahkan mereka berhenti daripada berbuat demikian atau mengekalkan jarak 50 meter dari PDM.

“Terpulang pada pihak lain kalau mereka mahu buat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, di PDM SK Port Dickson, dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson iaitu calon Pakatan Harapan yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan turut kelihatan meninjau proses mengundi di PDM ini.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS