Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'wak tidak akan berkompromi berhubung hak minyak dan gas - KM
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 2:49 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengulangi pendirian kerajaan Sarawak yang tidak akan berkompromi berhubung hak dan kawal selia penuh ke atas minyak dan gas yang terdapat di negeri ini.

Beliau berkata Sarawak telah meminda Ordinan Minyak dan Perlombongan (OMO) 1958 bagi mengukuhkan lagi hak dan kawal selia ke atas minyak dan gas Sarawak.

“Saya ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa kita tidak akan berkompromi dalam isu minyak dan gas Negeri Sarawak. Itu minyak dan gas kita dan OMO 1958 memberi kita kuasa kawal selia sepenuhnya terhadap minyak dan gas di negeri ini.

“Pihak lain boleh membangunkan sumber dan gas kita tetapi mereka tidak boleh berbuat demikian selagi mereka tidak ada lesen yang dikeluarkan oleh Negeri Sarawak melalui PETROS,” katanya dalam ucapan pada istiadat perbarisan dan rapat raksasa bersempena sambutan hari kelahiran ke-82 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang hari ini.

Abang Johari berkata, Sarawak juga mahu semua haknya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) dan Perlembangaan Persekutuan dikembalikan sepenuhnya.

“Seperti juga Negeri Sabah, Sarawak bersedia berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk mencari penyelesaian segera bagi mengembalikan hak-hak Sarawak sepenuhnya seperti yang ditandatangani oleh para pemimpin kita (dalam Perjanjian Malaysia) pada tahun 1963,” tegasnya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, ekonomi Sarawak berkembang sebanyak 4.7 peratus dalam tahun 2017 berikutan pengukuhan ekonomi global.

“Jumlah dagangan mencatatkan peningkatan kepada RM137.6 bilion berikutan eksport berkembang kukuh di samping peningkatan ekonomi beberapa negara dunia. Per kapita Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDN) Sarawak naik kepada RM49,327 atau AS$12,000 pada nilai semasa,” katanya.

Katanya bagi tahun ini, ekonomi Sarawak dijangka terus mencatatkan peningkatan pada tahap 4.0- 4.5 peratus.

Beliau berkata harga tinggi komoditi dijangka menyokong pertumbuhan eksport Sarawak, namun perang dagang antara China dan Amerika Syarikat akan memberi kesan terhadap dagangan Sarawak.

Abang Johari berkata Sarawak tidak boleh terlalu bergantung pada sektor minyak dan gas serta komoditi pertanian untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi disebabkan ia dipengaruhi pasaran global, sebaliknya perlu menambah nilai produk dan mewujudkan lebih banyak aktiviti hiliran untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ini termasuk membangunkan ekonomi digital dengan teknologi menjadi asas pertumbuhan ekonomi, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS