Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tak sabotaj usaha buru Jho Low - IGP
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 3:27 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan pihak polis tidak terlibat dalam mensabotaj usaha memburu ahli perniagaan kontroversi yang kini dalam buruan, Jho Low.

Malah katanya, pihak polis sendiri sedang mencari Jho Low termasuk meminta bantuan daripada Interpol banyak kali walaupun terdapat masalah teknikal pada peringkat awal.

"Kita telah berhubung terus dengan pihak Interpol untuk membantu kita mengesan (Jho Low). Yang terdekat kita dapat tahu dia (Jho Low) ada di Hong Kong, tetapi bila kita hantar pasukan, dia menyelinap masuk ke Macau dan dari Macau kita tidak tahu lagi dia ke mana.

"Jadi, kita sedang berhubung dengan rakan-rakan kita untuk mengesan Jho Low dan bapanya," katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Fuzi berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang percaya ada unsur sabotaj sehingga menyebabkan usaha mengesan Low menemui jalan buntu.

"Saya rasa dia sedang bersembunyi di mana-mana.

"Tun Daim Zainuddin (bekas pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP)) kata ada orang bocorkan rahsia kepada dia (Low)," kata perdana menteri ketika disoal tentang kemungkinan wujud kebocoran maklumat kepada Low.

Dalam temu bual minggu lepas, Daim mendakwa Low berjaya melarikan diri daripada pihak berkuasa kerana ada 'musuh dalam selimut' di kalangan penjawat awam serta agensi penguatkuasaan yang masih setia kepada pentadbiran terdahulu.

"Orangnya ada di mana-mana - menggunakan wang pembayar cukai. Dia mampu mendapatkan khidmat peguam terbaik.

"Saya diberitahu dia membelanjakan lebih AS$40 juta untuk yuran guaman sahaja," katanya.

Pada Ogos lalu, pihak berkuasa memfailkan pertuduhan jenayah secara in absentia (tanpa kehadiran) terhadap Low dan ayahnya (Larry) Low Hock Peng berhubung wang yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu didakwa menjadi dalang di sebalik skandal 1MDB.

Lihat Komen
ADS