Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan ujian laksa di Baling diketahui sehari dua lagi
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 3:58 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Keputusan ujian sampel laksa yang diambil daripada sebuah premis di Kampung Landak, Baling yang disyaki punca keracunan dan menyebabkan dua kematian, dijangka diketahui selewat-lewatnya dua hari lagi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata pihakya perlu menunggu laporan penuh ujian sebelum dapat mengesahkan punca kejadian.

“Sekiranya berpunca daripada laksa di premis berkenaan tindakan akan diambil,” katanya kepada pemberita pada Karnival Kesihatan Alor Setar 2018 ‘Kempen Gaya Hidup Sihat’ hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Dr Lee berkata setakat semalam, terdapat tiga kes baharu di Perak menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 83 kes dengan pecahan 34 kes di Perak (termasuk dua kematian), 25 di Kedah dan 24 di Selangor serta satu kes masih berada di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Dr Lee berkata pihaknya akan melipatgandakan promosi serta kempen larangan merokok di semua restoran dan premis makanan sebelum ia dikuatkuasakan pada 1 Jan 2019.

“Kita akan kuat kuasakan larangan merokok tersebut, tetapi sebelum itu kempen dan promosi mengenainya akan dilakukan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rokok dan kesannya kepada orang ramai sebelum kita ambil tindakan nanti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini termasuk warung di tepi jalan, berkuat kuasa 1 Jan depan.

Sementara itu tiada sebarang aduan dan kes berhubung keracunan laksa di Kelantan setakat ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Zaini berkata bagaimanapun pemeriksaan dan penguatkuasaan terus diperkasakan bagi memastikan premis perniagaan menyediakan makanan yang bersih kepada masyarakat.

"Kes keracunan makanan seperti yang berlaku di Kedah itu adalah kes yang jarang berlaku. Kita belum mendapat kepastian lagi berhubung kes tersebut justeru kita tidak dapat mengesahkan sama ada benar ia disebabkan laksa atau ramuan lain yang terkandung dalam makanan itu. Apa-apa pun kita tunggu keputusan makmal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Farmasi Kebangsaan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian hari ini.

Karnival yang dianjurkan oleh Persatuan Farmasi Malaysia Cawangan Kelantan itu melibatkan kerjasama Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan Hospital USM.

Zaini berkata karnival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 645 atlet dalam kalangan anggota farmasi swasta dan kerajaan di seluruh negara.

"Seramai 95 anggota Farmasi Kelantan menyertai karnival ini dalam keseluruhan enam acara yang dipertandingkan iaitu acara futsal, bola tampar, badminton, bola jaring, ping pong dan boling. Kita harap kontinjen Kelantan mampu menyapu bersih kesemua acara yang dipertandingkan," katanya.

Beliau berkata antara objektif utama penganjuran karnival itu adalah bagi mempromosikan gaya hidup sihat, merapatkan hubungan dan memupuk kerjasama berpasukan antara anggota farmasi seluruh negara.

Katanya aktiviti sukan itu akan dijadikan acara dwi-tahunan bermula tahun ini dalam usaha merealisasikan objektif program secara berkesan dan memberi impak positif kepada semua anggota farmasi dalam membudayakan amalan hidup sihat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS