Berita Malaysiakini

K'jaan timbang tawaran Melaka jadi hab kereta nasional

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan akan menimbang tawaran Kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi hab pengeluaran kereta nasional baharu negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Mohd Redzuan berkata tempat yang dipilih nanti perlulah konduktif, infrasuktur yang cukup dan mempunyai bilangan usahawan yang ramai.

“Jika di Melaka, saya fikir Alor Gajah adalah antara tempat yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2018 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.

Anggota Parlimen Alor Gajah itu adalah antara lima Menteri Kabinet yang penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka pada sesi pertama istiadat penganugerahan hari ini sempena sambutan ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka.

Beliau antara lima menteri kabinet yang menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) membawa gelaran Datuk Seri, selain Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkeply Ahmad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof.

“Sekiranya ramai usahawan Melaka mahu membangun bersama, maka ia mungkin akan menjadi antara tempat yang kita galakan…namun ini bergantung kepada pelabur itu sendiri untuk membuat keputusaan dan kita tidak boleh memaksa,” katanya.

Mohd Redzuan berkata secara peribadi beliau menyokong cadangan kerajaan negeri Melaka itu memandangkan terdapat Composites Technology Research Malaysia (CTRM), sebuah syarikat penyelidikkan komposit dan aeroangkasa, di negeri ini.

“Kereta nasional baharu akan mengunakan lebih kepada komponen daripada bahan dan teknologi canggih, sesuai dengan kemudahan yang terdapat di Melaka,” katanya.

Terdahulu dalam istiadat sama, Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd Rafiq Naizamohideen memberitahu pemberita kerajaan negeri Melaka menawarkan Melaka sebagai Hab Kereta Nasional Baharu Negara dan bersedia untuk memberikan kerjasama yang baik jika ia dipersetujui.

Mohd Rafiq berkata Melaka mempunyai banyak kawasan perindustrian dan sedang mengenal pasti kawasan baharu untuk menampung permintaan yang bertambah.

“Untuk projek kereta nasional baharu, kita telah ada kawasan perindustrian sedia ada yang sesuai dibangunkan sebagai hub industri atumotif dan projek kereta nasional baharu,” katanya.

Beliau bekata sekiranya kerajaan pusat berminat, pihaknya bersedia membawa wakil kerajaan melawat ke kawasan yang sesuai atau pun menghantar wakil ke Putrajaya bagi menerangkan pilihan yang ada di Melaka.

Selain Mohd Rafiq, tiga lagi exco kerajaan negeri Melaka yang dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Tey Kok Kiew, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Muhammad Jailani Khamis dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Mohd Sofi Abdul Wahab.

- Bernama