Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Besar atau kecil Isa tak kisah, yang penting menang

PRK PD | Bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad berkata beliau bersedia dengan kemungkinan mencatat kemenangan dengan majoriti yang kecil.

Kata Isa jumlah kelebihan undi yang diperolehi tidak begitu penting sebaliknya apa yang mustahak ialah beliau mencapai kemenangan.

"Kalau ada rezeki saya boleh menang. Banyak sikit majoriti tak penting, janji menang," katanya.

Memberikan analogi seperti bola sepak, sesebuah pasukan yang menjaringkan gol tetap dianggap menang tanpa mengira kaedah ia dibuat sama ada melalui penalti atau tendangan terus.

Justeru katanya jika beliau menang dengan majoriti berapa pun - walaupun 1,000 undi - ia tetap dianggap kemenangan.

Isa ialah bekas pemimpin kanan Umno dan pada suatu ketika dulu dipilih anggota parti berkenaan menjadi naib presiden mereka.

Bagaimanapun rekod beliau tercemar dengan sabitan amalan politik wang. Di sebalik keadaan itu beliau tetap dipilih Datuk Seri Najib Razak menjadi pengerusi Felda dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Orang dah letih

Pada PRK kali ini beliau mengingkari arahan dikeluarkan Umno dengan menjadi calon bagi berhadapan dengan enam yang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui di luar Sekolah Kebangsaan Linggi tengah hari tadi Isa berkata beliau berasa bertuah kerana turut menjadi pengundi di kawasan parlimen berkenaan sedangkan enam yang lain bukan pemilih berdaftar di Port Dickson.

“Selalu kita undi orang, sekarang kita undi diri sendiri, dan hari ini saya gembira dan sangat bernasib baik sebab kesemua anak-anak saya dapat mengundi bersama-sama walaupun di pusat mengundi yang berbeza,” katanya.

Menurut Isa, beliau juga yakin kerana sedang mendahului calon lain setakat pagi tadi.

Pada masa sama beliau turut meminta orang ramai berdoa agar cuaca kekal baik bagi membolehkan pengundi keluar mengundi.

Mengulas peratusan keluar mengundi yang rendah setakat jam tengah hari tadi Isa berkata ia mungkin kerana pengundi sudah letih dengan pilihan raya.

"Apa kita nak buat, tidak patut ada PRK, tapi tetap kena buat.

"Jadi orang pun dah letih agaknya, sebaliknya media yang seronok lebih. Pengundi macam biasa saja,” katanya.

Ditanya kemungkinan beliau akan kalah, Isa berkata beliau yakin prestasinya selama ini akan membantu orang ramai membuat pilihan yang diharapkan.

"Prestasi saya masih baik, satu kalah, lagi sembilan kali menang (sebelum ini) jadi masih keadaan baik, masih boleh dianggap juara bertahan,” katanya.

Terdahulu Isa tiba di SK Linggi bagi menunaikan tanggungjawabnya dalam PRK Port Dickson sekitar jam 11.30 pagi.

Beliau yang tiba dengan berbaju batik turut disambut dengan laungan “hidup tan sri” daripada penyokong pemimpin veteran terbabit.

Hadir sama keempat-empat anak Isa iaitu Mohamad Najib, Megawati, Lelawati, dan Juhaida.

Bagaimanapun, keempat-empat anak Isa tidak membuang undi di pusat mengundi yang sama dengan calon bebas itu.

Pada PRK kali ini Isa bertanding menggunakan simbol kerusi.

Anak sulung Isa, Mohamad Najib hari ini membuang undi di pusat pengundian Pengkalan Durian, Megawati dan Lelawati di SK Kampung Baru, manakala Juhaida di SK Port Dickson.

Ketiga-tiga pusat pengundian itu terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi.

Lihat Komen
ADS