Berita Malaysiakini

Nasi Arab Damsyik percuma dijamu pada pengundi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK PD | Hidangan nasi Arab Damsyik disedikan secara percuma oleh pihak tertentu kepada pengundi dan petugas pilihan raya berhampiran pusat mengundi di Pasir Panjang, Linggi awal hari ini.

Hidangan percuma itu diletakkan berdekatan jalan masuk ke SJK (C) Chung Hua, Pasir Panjang dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Pengundi yang melewati laluan berkenaan dipelawa menjamu selera Nasi Arab Damsyik, berserta daging dan ayam.

Malaysiakini pada mulanya diberitahu makanan percuma itu ditaja oleh salah seorang calon, tetapi tiada siapa mengakuinya.

Sekumpulan individu yang mengundang orang ramai makan percuma itu dilihat memakai kemeja ungu yang memaparkan imej salah seorang calon.

Bagaimanapun, mereka menafikan bertanggungjawab menyediakan makanan percuma itu dan enggan mengakui ia ditaja oleh calon berkenaan.

Ketika didatangi Malaysiakini, seorang lelaki, Maszlee Manap (gambar) yang dipercayai penyokong calon tersebut berkata makanan itu disediakan oleh penduduk kampung.

"Kita hari ini di Port Dickson ada 'hari raya', jadi sekali-sekala kita belanja makan. Tak ada tajaan, ini sedekah hari raya, nasi Arab Damsyik hidangan khas dari Damsyik," katanya.

Namun, Maszlee tidak mendedahkan pihak yang menaja sebanyak 250 bungkus makanan dan minuman percuma itu.

Ditanya sama ada makanan percuma itu merupakan kesalahan pilihan raya, Maszlee berkata: "Siapa-siapa boleh makan, kita panggil, orang PH kita panggil orang PAS pun kita panggil.

"Kita kerja sini tak ada makan, tak ada air macam mana, betul tak? Kita kerja panas tak ada air, tak ada makan salahkah (bagi makanan percuma)?"

Selepas dia beredar, seorang wanita yang enggan mendedahkan namanya berkata lelaki itu merupakan penyokong kuat salah seorang calon pilihan raya kecil berkenaan.