Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis akan siasat laporan pembantu Najib
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Kenyataan yang dibuat polis berhubung laporan yang dibuat pembantu peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi dilihat bercanggah.

Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy Chinniah sebelum ini memberitahu Malaysiakini tiada apa yang perlu disiasat kerana polis telah klasifikasikan aduan itu sebagai tindakan sivil dan akan merujuknya kepada majistret.

Bagaimanapun, dalam kenyataan berasingan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Fuzi Harun pada program di Johor hari ini berkata polis akan menyiasat laporan berkenaan.

“Laporan (itu) dibuat di (IPD) Sentul oleh pembantu beliau (Najib) terhadap tokoh tokoh politik tertentu berkaitan dakwaan yang dibuat (oleh ahli politik berkenaan).

“Jadi kita akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya, ini proses yang biasa,” kata Mohd Fuzi seperti dipetik Bernama hari ini.

Semalam, Malaysiakini melihat laporan polis yang dibuat di balai polis Sri Hartamas oleh pembantu Najib.

Aduan itu menggesa polis menyiasat dakwaan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang dilapor berkata akan membuka semula siasatan ke atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed sekiranya beliau adalah perdana menteri.

Khamis lalu, Najib berkata beliau akan mengarahkan pembantu peribadinya membuat laporan polis terhadap dirinya sendiri agar pihak berkuasa menyiasat sama ada bekas presiden Umno itu terlibat dalam kes pembunuhan berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata ia merupakan cara terakhir beliau untuk membersihkan namanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS