Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PAS: Peratusan keluar mengundi rendah kerana kenyataan Dr M

PRK PD | Peratusan keluar mengundi yang rendah sehingga jam 5.00 petang tadi berkemungkinan tanda protes pengundi parlimen Port Dickson kepada kerajaan yang memerintah hari ini, kata calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.

Jelas Mohd Nazari, tanda protes itu berkemungkinan besar ekoran kegagalan kerajaan melaksanakan ikrar lebuh raya bebas tol.

“Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan dengan tol (lebuh raya) mungkin menyebabkan anak muda ini memberontak sikit dan mungkin tanda-tanda protes dari anak muda untuk tidak turun (mengundi) dan ini cara mereka protes,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, hari ini.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Pengerusi HARAPAN itu juga menyifatkan janji dalam manifesto gabungan berkenaan termasuk janji untuk menghapuskan tol, sebagai "beban yang besar" buat kerajaan hari ini.

"Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nazari juga berkata faktor pertengahan bulan turut menyumbang peratusan keluar mengundi yang rendah.

“Saya nampak macam ada dua kemungkinan (kurangnya peratusan keluar mengundi), satu mungkin tarikh 13 Oktober ini tidak sesuai.

“Maknanya, mereka yang bekerja dan berada di luar kawasan mungkin tak ada bajet yang cukup untuk balik mengundi. Jadi, mereka pilih untuk tidak balik.

“Lagi pun 13 Oktober ini gaji belum masuk, jadi bila gaji belum masuk mereka tak nak baliklah,” katanya.

Lihat Komen
ADS