Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, NGO bergabung rayu ihsan pejuang transformasi
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 6:45 PM
Dikemaskini: 11:35 AM

Dibebani kos guaman dan ikat jamin yang tinggi keluarga Datuk Seri Najib Razak menggerakkan inisatif bagi mengumpul dana bagi menghadapi kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mengumumkan inisiatif itu Najib berkata tabung tersebut digerakkan anak beliau Nooryana Najwa dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Gerakan Belia Sejagat.

Kata Najib langkah itu diambil sebagai usaha mereka menolong beliau yang kini berdepan dengan pelbagai tuduhan di mahkamah, selain mempertahankan aktivis pengkritik kerajaan yang didakwanya menerima tekanan supaya menutup mulut.

"Setakat ini, kami memperoleh pertolongan daripada sahabat terdekat dan saudara-mara yang tampil untuk menolong tetapi jika boleh, kami tidak mahu membebankan mereka lagi," katanya melalui hantaran di media sosial.

Namun Najib segera menegaskan rayuan itu bukanlah bermaksud untuk menyusahkan orang ramai, terutama penyokongnya.

"Jika tak keterlaluan, sudilah jika ada kalangan saudara dan saudari yang ingin membantu dengan turut menyumbang ke tabung ini.

"Namun, jika ada keutamaan lain yang mengikat kewangan anda, utamakanlah yang itu dahulu," katanya.

Tabung direstui keluarga

Sementara itu Nooryana pula memuat naik kenyataan bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii dalam hantaran di media sosialnya.

Melalui kenyataan itu Mohd Razlan mengarahkan gesaan berkenaan kepada semua pihak yang menyayangi Najib serta "pejuang transformasi".

"Salam dan seruan kepada rakyat Malaysia yang menyayangi YB Datuk Seri Najib Tun Razak dan pejuang transformasi," katanya.

Menurut Mohd Razlan mereka sedang berusaha mewujudkan Tabung Solidariti 2.0 untuk meringankan bebanan kewangan bapa dan keluarganya.

Kata Mohd Razlan kos guaman dan ikat jamin yang dikenakan kepada bapa dan ibunya kini dianggarkan mencecah RM7 juta.

"Tabung ini juga akan digunakan untuk membela aktivis-aktivis yang mengalami tekanan ataupun penindasan daripada kerajaan kerana kerja mereka yang mengkritik kerajaan.

"Kami memohon jasa baik semua untuk memberi sumbangan semampu yang boleh untuk kita sama-sama membantu beliau (Najib) sekeluarga," katanya.

Mohd Razlan menambah Najib ialah bekas perdana menteri yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

"Sumbangan boleh dimasukan ke akaun NGO yang dipersetujui oleh keluarga Datuk Seri Najib sendiri," katanya.

Lihat Komen
ADS