Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Melayu, Bumiputera jangan jadi seperti kura-kura'

Orang Melayu serta kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak disaran agar terus kukuh bersatu demi memastikan nasib mereka sentiasa terbela pada masa hadapan, kata Anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Abu Bakar Yahya.

Beliau berkata, tanpa penyatuan dan kebersamaan adalah mustahil perubahan serta kemajuan bangsa terbabit dapat dicapai serta selari dengan kaum lain di negara ini.

“Hari ini, kalau bangsa lain lebih maju ekonominya, kita (Melayu dan Bumiputera) tidak boleh salahkan mereka jika kita terus berantakan sehingga ketinggalan dalam pelbagai segi. Sebaliknya kitalah yang perlu berbuat sesuatu untuk membela nasib kita sendiri.

“Jangan jadi seperti kura-kura, bila dicuit, kaki dan kepala terus termasuk (dalam cengkerang). Sebaliknya, kita harus ambil sifat ular tedung, lagi dicuit, lagi tinggi kepalanya. Bukannya mengganas, tapi berjuang (membela nasib bangsa) ikut peraturan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Pertubuhan Kinabalu Bersatu (PKB), di Shah Alam hari ini.

PKB yang diwujudkan dan dipengerusikan oleh Adzmi K.K Juatan adalah bagi membantu kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak di sekitar Lembah Klang meliputi pelbagai aspek termasuk pendidikan dan pekerjaan selain melibatkan mereka secara aktif dalam pelbagai aktiviti berpersatuan.

Mengenai PKB, Abu Bakar berkata ia adalah usaha yang cukup bernas supaya nasib anak Bumiputera Sabah dan Sarawak di Lembah Klang akan sentiasa terbela demi menjadikan ‘Malaysia Baharu' sebagai sebuah negara yang lebih baik.

Pada majlis yang sama, Abu Bakar menerima 769 borang keanggotaan baharu Bersatu terdiri daripada anak Sabah di sekitar Lembah Klang dan orang perseorangan yang diserahkan oleh Adzmi.

Sementara itu, Adzmi berkata PKB bersedia menjaga kebajikan kaum Bumiputera di kawasan sasaran dengan bertindak sebagai platform penyaluran maklumat untuk pencari pekerjaan selain untuk membantu golongan muda melanjutkan pelajaran.

“Saya difahamkan jumlah anak Sabah di Lembah Klang mencecah puluhan ribu dan ada dalam kalangan mereka tercicir dari segi pelajaran dan ada juga datang mencari kerja tapi tidak berjaya sehingga menjadi gelandangan.

“Setakat hari ini, jumlah anggota kita masih rendah. Disebabkan itu, saya sarankan lebih ramai anak Sabah serta Sarawak sertai PKB supaya kita dapat bela nasib mereka di sini, kerja dan belajar dengan baik di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS