Berita Malaysiakini

Equanimity dalam keadaan baik, kata broker jualan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kapal layar mewah yang dikaitkan dengan dana 1MDB, Equanimity berada dalam keadaan baik, kata broker jualan yang ditugaskan menjual kapal itu.

"Kapal layar itu dalam keadaan baik, dalam persekitaran yang selamat, bertumpu di terminal kapal pesiaran Pelabuhan Klang di Malaysia, dan sedang diurus oleh kru kapal layar profesional di bawah pengawasan syarikat pengurusan kapal layar yang khusus," kata Burgess dalam satu kenyataan kepada laman web SuperyachtNews.

Burgess dilantik oleh Mahkamah Tinggi untuk menjual Equanimity Jumaat lalu.

Bidaan untuk kapal layar itu akan dijalankan dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Tinggi pada akhir bulan November. Tidak ada harga yang diminta atau harga rizab yang diterbitkan.

Menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ), ahli perniagaan yang kini dalam buruan, Jho Low didakwa memperoleh kapal itu dengan nilai AS$ 250 juta menggunakan dana yang diperoleh daripada 1MDB.

Kapal mewah berukuran panjang 91.5 meter, dengan kru seramai 17 orang itu pada mulanya dirampas pihak berkuasa Indonesia pada 28 Feb dan sejak itu menjadi pertikaian undang-undang antara Jabatan Keadilan AS (DOJ) dan sekumpulan syarikat yang dikatakan dimiliki Jho Low.

Dilaporkan bahawa 1MDB telah mendakwa pemilikan kapal berharga RM1 bilion itu pada Ogos lepas.

Dipercayai Indonesia bersetuju menyerahkan kapal itu ke Malaysia setelah pertemuan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Kapal itu berlabuh di Pusat Pelayaran Boustead di Pelabuhan Klang dan kos penyelenggaraan kapal layar mewah itu dikatakan bernilai RM2 juta sebulan.