Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Laporan polis terhadap saya untuk buka semula kes
Diterbitkan:  Oct 13, 2018 10:26 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan bahawa laporan polis yang dibuat oleh pembantu peribadinya berhubung kes-kes pembunuhan berprofil tinggi adalah untuk membuka semula siasatan ke atas kes-kes berkenaan.

Kenyataan Najib itu susulan dakwaan Lim Kit Siang bahawa laporan polis berkenaan adalah untuk dirinya dan bukannya ke atas bekas presiden Umno itu.

"Kit Siang pula tidak berpuas hati. Dia tuduh saya bohong dan kita bukan membuat laporan polis terhadap diri saya tetapi terhadap dirinya.

"Mungkin Kit Siang tidak faham atau buat-buat tak faham," katanya melalui Facebook yang turut disertai gambar salinan laporan polis yang dibuat di balai polis Sri Hartamas.

Pada gambar salinan laporan polis yang dikongsi Najib itu tertera perenggan:

"Memandangkan kes-kes ini pernah disiasat secara mendalam dan lengkap dan telah pun melalui proses kehakiman, saya sarankan pihak polis memanggil Lim Kit Siang untuk memberi maklumat dan keterangan tambahan ke atas kes-kes tersebut"

Pada perenggan berikutnya keempat laporan polis itu pula tertera:

"Berdasarkan maklumat tambahan yang diberi oleh beliau (Lim), saya mahu pihak polis membuka semula siasatan ke atas kes-kes ini. Jika hasil siasatan ini menunjukkan majikan saya tidak terlibat maka meminta pihak polis membersihkan nama Datuk Seri Najib Razak. Tetapi jika dakwaan Lim Kit Siang tidak berasas dan merupakan satu pembohongan politik, saya juga menuntut pihak polis mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau terhadap laungan beliau yang tidak bertanggungjawab itu"

Najib dalam kenyataannya di Facebook menambah bahawa laporan polis itu menunjukkan bahawa pihaknya meminta Lim mengemukakan sebarang maklumat berhubung kes-kes berkenaan memandangkan pemimpin DAP itu mengaitkan beliau dalam kes-kes itu.

Najib juga turut memetik laporan Malaysiakini yang memetik Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy Chinniah yang berkata tiada apa yang perlu disiasat berhubung laporan itu kerana polis telah klasifikasikan aduan itu sebagai tindakan sivil.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada program di Johor hari ini berkata polis akan menyiasat laporan berkenaan.

“Laporan (itu) dibuat di (IPD) Sentul oleh pembantu beliau (Najib) terhadap tokoh tokoh politik tertentu berkaitan dakwaan yang dibuat (oleh ahli politik berkenaan).

“Jadi kita akan siasat dan ambil tindakan sewajarnya, ini proses yang biasa,” kata Mohd Fuzi seperti dipetik Bernama hari ini.

Pertikaian antara Najib dan Lim itu susulan kenyataan Lim bahawa beliau akan membuka semula siasatan ke atas pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Kevin Morais, Hussain Najadi, Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed sekiranya beliau adalah perdana menteri.

Khamis lalu, Najib berkata beliau akan mengarahkan pembantu peribadinya membuat laporan polis terhadap dirinya sendiri agar pihak berkuasa menyiasat sama ada bekas presiden Umno itu terlibat dalam kes pembunuhan berkenaan.

Bekas perdana menteri itu berkata ia merupakan cara terakhir beliau untuk membersihkan namanya.

Lihat Komen
ADS