Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK PD | Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pertamanya selepas diangkat sebagai anggota parlimen Port Dickson menegaskan pilihan raya kecil (PRK) berkenaan mencatat sejarah yang tersendiri.

Kata Anwar sejarah itu tercipta apabila kemenangan yang dimiliki beliau dibuat rakyat tanpa sebarang janji manis yang ditaburkan parti kerajaan pemerintah itu.

“Saya salute orang Port Dickson kerana dalam pilihan raya ini, tak ada sekolah baru dibuka, tak ada pembesaran hospital, tidak ada peruntukan untuk kuil dan masjid, tidak ada sebarang peruntukan dari mana-mana kerajaan pusat atau negeri. Menteri besar pun tak ada beri tanah, tak ada.

“Ini kali pertama Port Dickson mencatat sejarah kerana kali pertama tidak ada sebarang peruntukan diberikan tetapi rakyat dan pengundi Port Dickson tetap memilih Pakatan Harapan kerana harapan itu,” katanya ketika berucap dihadapan ribuan penyokongnya di bilik gerakan utama HARAPAN di PD Waterfront, Port Dickson.

Anwar secara rasmi sebentar tadi diangkat sebagai anggota Parlimen Port Dickson yang baru dengan majoriti besar.

Anwar memperoleh 31,016 undi manakala pencabar terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar dari PAS meraih 7,456 undi.

Tambah Anwar, sebagai wakil rakyat Port Dickson, beliau akan mengetuk setiap pintu kementerian yang bertanggungjawab bagi melaksanakan segala keperluan rakyat di kawasan parlimen yang baru dimenanginya itu.

“Tapi sekarang kita boleh bagi kerana sudah habis pilihan raya, saya akan ketuk pintu (pejabat) menteri besar, saya akan ketuk pintu tiap-tiap menteri yang ada kaitan dan kata jangan lupa Port Dickson,” katanya.

Lihat Komen
ADS