Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong Anwar dibenar hadir majlis angkat sumpah di parlimen

Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memasuki parlimen untuk mengikuti majlis angkat sumpah jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat Isnin ini, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Bagaimanapun katanya, hanya mereka yang menghantar permohonan secara rasmi dibenarkan menghadiri majlis khas itu dengan tempat terhad untuk seramai 500 hingga 600 tetamu.

"Setakat ni saya terima ramai (permohonan) orang nak datang tapi tempat terhad.

"Ada special occasion (majlis khas) bila Anwar angkat sumpah. Siapa cepat dia dapat, siapa yang dah tulis surat pada kami boleh masuk, ada tempat," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Anwar malam tadi memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan memperoleh sebanyak 31,016 undi.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 23,560 undi, menewaskan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan lima lagi calon bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Rashid yang juga anggota Biro Politik PKR berkata, kehadiran Anwar dalam sidang parlimen sangat dialu-alukan memandangkan beliau merupakan seorang pemimpin yang mempunyai pandangan yang luas.

"Saya sangat positif, di kalangan pembangkang pun ada yang jadi anak didik Anwar. Mereka boleh terima Anwar cuma mungkin ada (beberapa) suara-suara sumbang yang cuba nak menidakkan Anwar.

"Sampai hari ni pun walaupun dia sebelum ini tak berada dalam kerajaan, tapi dengan pandangan beliau di merata dunia mengenai urus tadbir yang baik, dia merupakan pemimpin hebat (yang dialu-alukan)," katanya.

Tambahnya, ketua umum PKR itu juga berhasrat bertemu beliau dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Arif Md Yusof selain seorang lagi timbalan speaker, Nga Kor Ming bagi membincangkan usaha yang boleh dilakukan bagi pembaharuan parlimen.

"Mungkin pendekatan yang beliau ada, boleh bantu reform parlimen. Rakan-rakan Anwar yang lain seperti Lim Kit Siang dan ramai lagi boleh bantu secara keseluruhan," kata Rashid.

Lihat Komen
ADS