Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
249,850 ahli PKR Selangor mula memilih hari ini

PEMILIHAN PKR | Fasa pertama proses pemilihan PKR peringkat Selangor yang mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi iaitu 249,850 orang, berlangsung hari ini di sembilan daripada 22 cabang di negeri itu.

Sembilan cabang berkenaan ialah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Serdang, Kelana Jaya, Subang, Kapar, Kota Raja dan Sepang yang mempunyai lebih 108,000 anggota layak mengundi.

Sabak Bernam mempunyai 4,983 anggota, Sungai Besar (6,243), Hulu Selangor (19,913), Serdang (8,597), Kelana Jaya (10,595), Subang (12,051), Kapar (19,578), Kota Raja (15,640) dan Sepang (11,257).

Proses pengundian menggunakan kaedah ‘e-voting’ atau e-undi itu akan berlangsung dari 9 pagi sehingga 5 petang.

Baki 13 cabang lagi akan menjalankan pengundian pada 21 Oktober melibatkan Puchong, Gombak, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Kuala Langat, Klang dan Selayang manakala pada 28 Oktober melibatkan Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din berkata pemilihan parti di Selangor dipecahkan kepada tiga fasa berikutan keanggotaannya yang terlalu ramai.

“Memandangkan petugas dan peralatan kita terhad kita terpaksa pecahkan kepada tiga hari iaitu 14, 21 dan 28 Oktober. Pusat mengundi pun kita pilih yang luas dan selesa supaya proses pengundian berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai aspek keselamatan semasa proses pengundian, beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada polis dan menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di setiap pintu masuk pusat pengundian selain menambah jumlah petugas.

Selain itu, Rashid (dua dari kanan) berkata pegawai tempat mengundi juga dipilih dalam kalangan mereka dari luar Selangor bagi mengelakkan berlakunya ‘pilih kasih’.

“Kita juga hadapi masalah bila ada ‘cai’ (senarai calon-calon), jadi kita akan pastikan dalam dewan mengundi sesiapa pun tidak dibenarkan berkempen atau mengedarkan cai, tambahan pula kita tahu di Selangor ‘panas’,” katanya.

“Kita juga nak nasihatkan anggota parti supaya berhemah, kita lawan secara adil. Menang atau kalahpun orang KEADILAN (PKR) juga, kita adik-beradik jadi kena bertolak ansur, jangan sampai bergaduh,” katanya menambah keputusan dijangka diketahui seawal 7 malam.

Selain mempunyai keanggotaan paling ramai, Selangor turut menjadi tumpuan pada pemilihan kali ini dari segi perebutan jawatan timbalan presiden memandangkan negeri ini dikatakan kubu kuat penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR negeri dan bekas Menteri Besar Selangor.

Selain Mohamed Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi, jawatan nombor dua parti diintai naib presidennya Mohd Rafizi Ramli.

Namun, Penolong Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat Syed Badli Shah Syed Osman yang juga bekas Setiausaha AMK Selangor dilaporkan berkata kesemua 22 cabang di negeri itu telah menyatakan sokongan kepada Rafizi.

Media sebelum ini melaporkan, keputusan undi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan memihak kepada Rafizi sementara Mohamed Azmin berjaya menguasai Pulau Pinang dan Johor.

-Bernama

Lihat Komen
ADS