Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah membatalkan sebuah projek bagi menggantikan tingkap di tiga tingkat teratas di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya dengan kaca kalis peluru.

Lim berkata, projek yang diluluskan ketika pentadbiran BN itu akan menelan belanja RM7 juta, jika diteruskan.

"Ada cara lebih mudah untuk bunuh saya, berbanding sniper (penembak hendap)," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Menyifatkannya sebagai satu pembaziran, beliau yang juga setiausaha agung DAP berkata projek itu sebagai satu lagi contoh sikap pentadbiran BN yang berlebih-lebihan.

"RM7 juta untuk kaca kalis peluru, beginilah cara mereka membazirkan wang," katanya lagi.

Ketika pentadbiran lalu, tingkat 10 bangunan itu menempatkan pejabat timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, tingkat 11 untuk pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri kewangan, manakala tingkat 12 untuk bilik mesyuarat.

Pada masa itu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri kewangan dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai menteri kewangan kedua.

Timbalan mereka pula ialah Datuk Othman Aziz dan Datuk Lee Chee Leong.

Lihat Komen
ADS