Ulasan Malaysiakini

Wajah baru dan aneh AMANAH

Hassan Pantalone  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Bagi pertubuhan semuda Parti Amanah Negara (AMANAH) yang meniup lilin hari lahir buat kali ketiga pada 16 Sept lalu, kejayaan yang dicapainya mungkin agak menakutkan.

Kita barangkali tidak akan terlalu terkejut melihat seorang anak berusia tiga tahun pandai membaca, mengira atau menghafal beberapa juzuk al-Quran walaupun agak sukar juga untuk ia terjadi.

Tapi jika pada usia sebegitu dia sudah pandai mencari kekasih misalnya, ia bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan, sebaliknya jelas ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam perkembangan tumbesarannya.

AMANAH barangkali parti paling berjaya dalam PRU ke-14 lalu jika dilihat dari konteks menduduki posisi-posisi penting dalam kerajaan berbanding kerusi yang dimenanginya.

Parti serpihan PAS itu hanya menang 11 kerusi parlimen - paling rendah berbanding parti-parti lain dalam Pakatan Harapan - tetapi daripada jumlah itu sahaja, enam orang dilantik menjadi menteri manakala tiga timbalan menteri.

Tidak cukup dengan itu, seorang pemimpinnya dilantik menjadi senator untuk melayakkannya menjadi timbalan menteri pula selepas itu.

Untuk menjadikannya lebih manis dan berdiabetes, seorang demi seorang pimpinan parti itu - dengan yang terbaru di Melaka - menjadi seperti anak-anak sekolah beratur menerima hadiah peperiksaan akhir tahun daripada ketua cawangan.

Bom jangka rahsia

Bergilir-gilir mereka menyambut gelar Datuk dan Datuk Seri dari istana atas ‘jasa besar’ mereka mentadbir negara ini sejak lima bulan lalu.

Ya, kejayaan 9 Mei lalu barangkali amat manis. Seperti menang perang Badar agaknya bagi sesetengah pemimpin. Sesekali dapat pula menyindir parti lama mereka menjadikan ia lebih-lebih lagi manisnya, seperti menambah gula pada Coca-Cola.

Apa yang mungkin mereka tidak sedar - atau sengaja mahu dinafikan kerana masih dalam mood perayaan - ialah kemanisan yang berlebihan boleh membunuh secara diam-diam. Ia seperti bom jangka yang tersimpan di tempat rahsia.

Sebagai parti muda, AMANAH sebenarnya amat rapuh dan terdedah kepada kehancuran dari dalam jika tidak diperhatikan dengan cermat. Situasinya, hampir semua pemimpin utamanya memegang jawatan besar dalam kerajaan, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Sewaktu ramai orang menganggap itu satu kejayaan besar, mungkin ramai tak menyangka ia boleh jadi bumerang kepada parti jika melihat kepada cawangan dan bahagian yang mula terabai lantaran kesibukan wakil-wakil rakyatnya.

Jawatan menteri, timbalan menteri atau exco hampir pasti merebut masa mereka bersama rakyat di lapangan, walhal orang-orang itulah yang mengundi dan mengusung mereka ke kerusi-kerusi kabinet.

Agenda peribadi pun ada

Jangan cerita kekecewaan para aktivis parti yang berhempas-pulas berkempen dari tempoh parlimen bubar (malah lama sebelum itu) sehingga menang.

Kini, ramai yang sudah merajuk akibat berasa tidak dihargai pemimpin yang jarang turun padang kerana terlalu sibuk di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Tidak mustahil ada cawangan atau bahagian yang terbubar. Untuk menjadikannya lebih teruk, ada cawangan baru AMANAH dibina, tapi yang mendirikannya adalah bekas ahli-ahli Umno yang tujuannya kita sendiri tahu kenapa.

Mereka ‘menghimpit’ pegawai-pegawai menteri, malah sebahagiannya membawa budaya samseng, sampai ke satu tahap mengugut agar jangan dibuat cawangan baru di satu-satu kawasan itu, kerana ia bakal dibina dan diisi oleh orang-orang mereka.

Disibukkan oleh tugas sebagai enteri dan timbalan menteri, mereka mungkin menyerahkan sepenuhnya urusan kawasan masing-masing kepada pegawai-pegawai di lapangan, yang sesetengahnya mungkin masih baru, mudah dipengaruhi lawan, atau... entahlah.

Yang punya agenda sendiri pun mungkin ada barangkali.

Politiking berlaku dalam lapis-lapis yang pelbagai, malah sehingga ke peringkat pemandu kenderaan rasmi menteri. Jangan cerita cawangan dan bahagian semata-mata. Pejabat parlimen tidak terkecuali.

Ada stafnya yang seperti anak ayam kehilangan ibu.

Program kawasan hampir tiada
rakyat kurang diziarahi
anggota parti lari
orang Umno berbaju oren mari.

Biarkan situasi ini berlarutan beberapa bulan lagi, AMANAH akan punya wajah baru. Kopiah sudah lama tercabut dari kepala mereka. Selepas ini, ketua-ketua cawangan mungkin terdiri daripada selebriti setaraf Wak Doyok, atau yang berpenampilan cermin mata hitam dengan songkok hitam, bangle di pergelangan tangan, suara serak-serak halus ala YB Melaka, dan kalau bergambar depan pemberita, kalau boleh semua orang mahu masuk dalam kamera.


HASSAN PANTALONE ialah pembaca setia Malaysiakini yang berharap pemimpin-pemimpinnya tidak menjadi tamak dan tertipu seperti Abdul Wahab dan Abdul Wahub selepas kematian bapa mereka dalam 3 Abdul.

Rencana ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.